Oleh: MIMI HAZWA
19 JUN 2022
KENINGAU: Skuad Waja mengadakan jelajah pedalaman Sabah berakhir pada Rabu bagi menyantuni dan membantu rakyat khususnya wanita dan ibu tunggal dengan kerjasama PAS Keningau.
Empat daerah pedalaman atas iaitu Tambunan, Tenom, Tulid serta Keningau menjadi pilihan untuk memperkukuhkan dan mengeratkan lagi hubungan baik antara Skuad Waja Sabah dan masyarakat.
Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengharapkan agar setiap pengisian yang disampaikan oleh agensi-agensi di bawah kementeriannya kepada masyarakat terutama kumpulan sasar dapat dimanfaatkan sebaiknya.
“Besar harapan kami agar semua ahli-ahli Skaud Waja yang baru dilantik sepanjang Program Psikososial dan Turun Padang (PPTP) edisi Sabah ini dapat membantu mereka yang memerlukan terutama keluarga dan jiran tetangga agar dapat bersama menjadi keluarga Malaysia yang ambil tahu dan peduli sesama kita,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pelbagai program lawatan di bawah Skuad Waja Sabah dan program kebajikan bersama agensi-agensi di bawah kementerian telah disusun sepanjang kunjungan ini diharapkan dapat memberi semangat dan manfaat kepada masyarakat di pedalaman atas.
Program yang disusun sepanjang berada di pedalaman atas selama dua hari merupakan program-program menyantuni dan membantu rakyat khususnya wanita dan ibu tunggal bersama pelbagai agensi di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Turut hadir bersama ADUN dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Flovia Ng, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Negeri, Jais Asri, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail, Ketua pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Dr. Zurina Abdul Hamid, Pengarah Lembaga Penduduk Dan pembangunan Keluarga Negara(LPPKN) Sabah, Suszma Khairitszi, Timbalan Pengarah Persekutuan,Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JKM) Roshayati Omar, Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Abdul Hisham Othman dan Ketua Dewan Muslimat PAS Keningau, Norazian Sapiai.
Tempat-tempat yang dilawati sepanjang dua hari tersebut ialah Rumah Anak Yatim RAY Tambunan, Dewan Mini Majlis Daerah Tambunan, Madrasah Tahfiz Ar-raudhah Tenom, Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Ilmi Keningau, Rumah Sejahtera Keningau, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) JKM Keningau, IPDAS dan Dewan Daerah kecil Tulid.
Sepanjang program ini, pelbagai bentuk sumbangan telah di berikan kepada anak yatim dan ibu tunggal iaitu wang tunai, sumbangan Prihatin YKN, bahan bacaan oleh ISM, kit Seri oleh LPPKN dan sumbangan makanan oleh Yayasan Good Bank Malaysia.