Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin Serah Sumbangan Mangsa Amuk Di Bagan Datok, Perak

933
SHARE

Skuad Prihatin Serah Sumbangan Mangsa Amuk Di Bagan Datok, Perak

21 Mei 2018, Perak : Dalam kemeriahan umat Islam menyambut 1 Ramadhan pada 17 Mei 2018 yang lalu, kita dikejutkan dengan satu trajedi yang amat menyayat hati, di mana tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik yang maut itu adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3; dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

Turut cedera dalam kejadian itu adalah ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus serta anak sulung Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan juga akibat ditetak.

Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina, 9, dan seorang guru agama berusia 32 tahun juga cedera dalam kejadian amuk itu.

Guru agama yang turut tercedera tersebut ialah Ustaz Ridzuan B Embi yang juga merupakan anak kepada salah seorang Muslimat PAS Kawasan Gombak yang dikenali sebagai ‘Mak Wan’.

Justeru, pada 19 Mei 2018 yang lalu, Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Bagan Datok telah meluangkan masa menziarahi Ustaz Ridzuan di Rungkup, Bagan Datok. Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Puan Nafiaton Khailani selaku Ketua DMPK Bagan Datok, Puan Hana; Pengarah Pilihanraya DMPK Bagan Datok, Puan Shahida Yahya, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPK Bagan Datok dan Saudari Saidator Nor; Setiausaha Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPK Bagan Datok.

Dalam ziarah tersebut, rombongan DMPK Bagan Datok sempat mendengar sendiri pengalaman ngeri yang dialami oleh Ustaz Ridzuan pada hari kejadian. Menurut Ustaz Ridzuan, ketika kejadian beliau sedang lalu di kawasan amuk tersebut semasa balik dari sekolah dengan menaiki motorsikal. Semasa sampai di kawasan tersebut, secara tiba-tiba dia terkena libasan parang di bahagian pipinya. Alhamdulillah cedera tidak begitu parah kerana dia memakai topi keledar.

Ketua DMPK Bagan Datok, Puan Nafiaton Khailani telah menyerahkan sumbangan kepada Ustaz Ridzuan bagi mewakili serahan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) sebelum rombongan mengundur diri.