Home Buletin JITM

Skuad Prihatin – Serah Sumbangan Buat Adik Damia

86 views
SHARE

Skuad Prihatin – Serah Sumbangan Buat Adik Damia


27 Februari 2018, Subang Jaya : Bulan lalu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) telah mengikuti perkembangan kesihatan 3 beradik yang menghidap penyakit ‘Beta-Thalassemia Major’.

Mereka ialah Nureen Damia Bt Musa dan kembarnya Nureen Dania Bt Musa, 11 tahun. Penyakit pasangan kembar itu mula dikesan pada April 2008 ketika mereka berusia 8 bulan. Manakala adiknya pula, Muhammad Rayyan Isaac B Musa berumur 4 tahun menghidap penyakit sama dan mula dikesan pada Disember 2014 ketika berusia 12 bulan. 3 beradik ini merupakan 3 daripada 6 orang anak kepada seorang guru (Ibu) dan seorang penjawat awam (Ayah).

Penyakit thalassemia major ialah penyakit kelainan darah akibat faktor genetik di mana sel darah merah (hemoglobin) tidak berfungsi dengan normal. Oleh yang demikian, blood transfusion setiap 3 atau 4 minggu diperlukan bagi memastikan hemoglobin (Hb) mereka di tahap yang selamat.

Selain itu, pengambilan ubatan Exjade (iron chelating agent) bagi mengurangkan iron berlebihan dalam sistem badan kesan dari blood transfusion yang kerap, dibekalkan oleh hospital kerajaan. Pada jangka masa panjang, ianya akan memberikan kesan yang buruk kepada pesakit dengan merosakkan organ dalaman serta keadaan fizikal dan jangka hayat yang merosot.

Penderma stem cell yang sesuai telah ditemui di Taiwan dengan kos pembeliannya RM80 ribu. Justeru rawatan stem cell transplant Nureen Damia (kembar pertama) telah dimulakan pada 28 Nov 2017 di Subang Jaya Medical Center, dengan bayaran deposit RM200 ribu, manakala baki ditangan sebanyak RM100 ribu yang dijangkakan mencukupi berdasarkan rekod bill hospital Muhammad Rayyan yang lepas iaitu RM224 ribu.

Malangnya, nasib tidak menyebelahi Nureen Damia kerana berlakunya komplikasi hati dan paru-paru. Manakala buah pinggang beliau turut gagal menanggung pengambilan ubatan yang berterusan. Lebih malang, sehingga tarikh 20 Januari 2018, bil hospital telah mencecah RM 342 ribu. Dengan komplikasi begini, doktor memaklumkan rawatan akan berlarutan lebih lama. Kos juga akan meningkat lebih tinggi dan dijangkakan boleh mencecah RM500 ribu.

Justeru itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia mengambil inisiatif melancarkan tabung sumbangan bagi membantu menampung kos rawatan yang diperlukan. Alhamdulillah, berita dan poster tabung sumbangan telah mendapat respon yang menggalakkan dari para penyumbang yang dermawan.

Hari ini, dengan izin Allah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, bersama dengan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPM, Puan Zurina telah menziarahi Adik Damia di Subang Medical Centre, bersama-sama dengan wang sumbangan orang ramai yang telah dikumpul semenjak sebulan yang lalu. Wang tersebut juga telah diserahkan kepada bapa kepada 3 beradik tersebut iaitu En Musa.

Semasa ziarah, adik Damia kelihatan ceria sebelum dimasukkan ke NICU kerana ada sedikit masalah pada kesihatannya.

Semoga Allah memberikan kesembuhan pada adik Damia dengan sebenar-benarnya kesembuhan iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan kesan dan parut, amin Ya Ar Rahman Rahimin.