Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Skuad Prihatin : Program Pimpinan Prihatin Sihat

617
SHARE

Kuala Lumpur, 21 September 2017 : Seringkali semasa kita menaiki pesawat , kita akan mendengar taklimat ringkas keselamatan daripada anak-anak kapal yang bertugas. Antaranya ialah, para penumpang dinasihati untuk memakai alat bantuan pernafasan ke atas diri sendiri terlebih dahulu sebelum membantu mereka yang dibawah jagaan kita. Ianya secara logik akal membawa maksud, kita hendaklah memastikan diri kita dalam keadaan yang selamat terlebih dahulu supaya kita mampu dan dapat menjamin keselamatan dan memberi bantuan kepada mereka yang berada di bawah jagaan kita.

Situasi tersebut hendaklah juga dipraktikkan di dalam sesebuah keluarga malah juga penting untuk dipraktikkan di dalam sesebuah organisasi. Sebuah organisasi yang sihat, in shaa Allah mampu dan dapat melahirkan suasana pekerjaan yang positif dan ceria.

Maka dengan itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan program pemeriksaan kesihatan ke atas barisan Pimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Buat julung-julung kalinya, program ini telah dilancarkan pada 17 September 2017 yang lepas di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. Program ini telah dijayakan oleh salah satu unit di bawah LKK DMPM iaitu unit Muslimat Medik (MUSMEDIK) yang mana ahlinya adalah terdiri daripada para Doktor dan juga pegawai-pegawai kesihatan yang berpengalaman.

Pada Ahad yang lepas iaitu 17 September 2017, pemeriksaan kesihatan pimpinan DMPM telah bermula seawal 6.50 pagi dan selesai pada pukul 11.30 tengah hari. Seramai 21 orang pimpinan telah menyertai program ini. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program kesihatan ini ialah, Screening bertujuan untuk pemeriksaan BMI (body mass index), pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan paras glukosa darah.

Program tersebut kemudian diakhiri dengan kaunseling dari para Doktor untuk :
1. Meningkatkan kesedaran tentang BMI yang ideal bagi mencegah dan mengawal obesiti.

2. Meningkatkan kesedaran tentang tekanan darah serta paras glukosa yang normal bagi mencegah dan mengawal penyakit darah tinggi dan diabetes.

3. Meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengesanan awal kanser payudara, kanser pangkal rahim dan kanser usus melalui program-program screening yang ada.

Menariknya lagi, pemeriksaan susulan akan dijalankan bagi pimpinan yang mempunyai masalah kesihatan, bagi memastikan kesihatan pimpinan sentiasa berada di tahap optimum, in shaa Allah.