Home Kenyataan Media PAS Wilayah

SISTEM PERUNDANGAN NEGARA PERLUKAN PERUBAHAN SUPAYA POLITIKUS JAHAT TIDAK AMBIL KESEMPATAN

26
SHARE

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengikuti rapat perbicaraan kes yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kes yang melibatkan 47 pertuduhan Prima Facie yang membabitkan salah laku wang dan rasuah.

2- DPPWP melahirkan rasa kekesalan yang besar terhadap perjalanan kes tersebut yang tiba-tiba telah ditekan ‘brek kecemasan’ oleh pihak pendakwaraya apabila hujah pendakwaan telah ditarik semula selepas kes dinilai sebagai Prima Facie.

3- Akibat penarikan tersebut, mahkamah yang bertindak sebagai pengadil tidak dapat berbuat apa-apa selain memutuskan untuk tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan (Discharge not Amounting Acquittal) yang meletakkan posisi tertuduh sebagai ‘hanging’ dengan tidak diputuskan sebagai bersalah mahupun tidak bersalah.

4- Keputusan terhadap tertuduh itu juga dilihat seolah-olah telah dirancang apabila timbalan pendakwaraya, Raja Rozela telah diarahkan untuk bersara dan pendakwaraya yang baru dilantik pula enggan meneruskan kes tersebut. Kronologi tersebut sangat mencurigakan.

5- Kerana itu, DPPWP melihat perjalanan kes terhadap DS Zahid Hamidi itu sebagai sesuatu yang telah dirancang supaya beliau dapat meloloskan diri menggunakan kuasa yang beliau miliki sebagai TPM Malaysia.

6- Perlu difahami, kedudukan pendakwaraya berada di bawah Jabatan Peguam Negara. Manakala, Jabatan Peguam Negara pula berada di Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai autoriti kedua tertinggi.

7- Akibat perkara tersebut, kedudukan tertuduh sebagai TPM dan kuasanya ke atas Jabatan Peguam Negara menepati ciri ‘conflict of interest’ yang memunasabahkan kedudukannya untuk membatalkan perjalanannya kes yang beliau hadapi.

8- Justeru, DPPWP mencadangkan beberapa solusi tuntas bagi memastikan sistem keadilan negara kita benar-benar berfungsi tanpa sebarang campur tangan pihak pemerintah terhadapnya. Antaranya:

(a) Kuasa pendakwaan perlu dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara yang dinaungi oleh Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan ketelusan dan kerjanya tidak dicampuri pihak pemerintah.

(b) Perlantikan pihak pendakwaraya ini boleh dibuat secara terbuka dengan menyerahkan pelantikannya kepada kuasa parlimen Malaysia yang menjadi wakil bagi rakyat Malaysia seluruhnya.

(c) Pembentangan akta dana politik yang telah siap dirangka bagi memastikan setiap politikus mempunyai sikap teliti dan berhati-hati di dalam setiap pemilikan dan pembiayaan yang mereka dapatkan.

9- Akhirnya, DPPWP mengharapkan kerajaan benar-benar komited menegakkan kedaulatan undang-undang bukan sekadar ‘sembang kosong’ di dalam setiap siri ucapan dan ceramah.

 

ABDUL RAZAK BIN RAMLI,

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.