Zaman 80an dulu, sayalah penulis poster ceramah bila ada ceramah di kawasan saya, letih juga lah, nak nak bila yang datang tu penceramah terkenal seperti Allahyarham Ust Fadhil Nor, TGHH dan lain-lain, geng-geng otai kerjanya menyuruh je, pernah saya kena tulis pada manila kad sampai 100 keping sebab nak tampal sampai ke Pekan.
Dalam satu usrah di Markas PAS Darussalam, masa itu masih lagi dalam kawasan Pekan, kalau tak silap saya Allahyarham Ustaz Awang Dagang yang jadi naqib masa tu, dia bacakan ayat dari surah yang sangat sinonim dengan perjuangan PAS iaitu surah As Saff ayat 10:
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Beliau merujuk kepada kalimah At Tijaarah (perniagaan). Allah swt umpamakan berjuangan Islam ini seperti perniagaan, bila perniagaan pasti ada untung dan ruginya, untung dan ruginya juga dipengaruhi oleh strategi perniagaan yang dilakukan, antaranya yang paling utama salam strategi perniagaan ialah iklan.
Perjuangan PAS pun sama, katanya. bendera PAS adalah syiar bagi menunjukkan bahawa PAS itu wujud di satu-satu tempat, sedikit atau banyak ia akan menggambarkan kekuatan, begitu juga poster ceramah, kalau sekiranya tiada poster ditampal, tiada siapa yang akan tahu ada program ceramah, tiada orang yang akan hadir jikalau tiada poster.
Memang pada masa itu, poster adalah medium paling penting untuk mobilisasi program PAS. Berbeza sekarang yang jauh lebih mudah, pelbagai aplikasi untuk sebaran ceramah, jauh lebih mudah, cepat dan cantik, dalam masa beberapa saat ribuan manusia telah mendapat info, berbeza dulu, sampai botak tayar basikal, jauhnya berkayuh nak tampal poster ceramah PAS.
Terkadang senyum sorang, teringat zaman tu, kayuh basikal, dipinggang ada beg yang sarat dengan paku, tukul, stepler dan gam, kat pokok guna paku atau stepler, kat batu dan tiang letrik guna gam, sebab tiang letrik walaupun kayu tapi “kerah kong”. Istilah bahasa daerah saya ni.
“Dengan sebab posterlah orang tahu ada ceramah dan orang datang dengar serta faham tentang perjuangan Islam dan perjuangan PAS, inilah antara kerja-kerja yang sangat membantu perjuangan PAS dan pasti ianya akan dibayar oleh Alllah swt dengan pahala dan kebaikan di Akhirat”. Inilah antara Usrah yang memberi kesan mendalam didalam jiwa saya menyebabkan sampai sekarang ketagih menampal poster.
YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang