Usrah sebelum mesyuarat PAS Pusat baru ni, Dato Seri Tuan Guru menyebut bahawa akhlak para amilin mestilah lebih baik dari musuhnya, beliau menyebut perumpamaan,
1. jika akhlak pejuang Islam sama seperti akhlak musuhnya ianya seperti berjalan ditanah yang rata.
Pasti usaha mengajak orang kepada Islam menjadi lambat kerana orang akan melihat tiada bezanya antara yang mengajak dan yang diajak.
2. Jika akhlak pejuang Islam lebih buruk dari musuhnya, ia seperti mendaki bukit yang tinggi.
Usaha untuk mengajak masyarakat kepada Islam akan lebih sukar, lebih lambat dan sangat meletihkan dan hasilnya sedikit.
3. Jika akhlak pejuang Islam lebih baik dari musuhnya ia seperti menuruni bukit.
Pasti kerja dakwahnya lebih mudah dan ringan dan menarik minat orang untuk bersamanya.
Pernah tahun 1999 saya menghadiri program liqa fikri, ketika itu Allahyarham Murabbi Ustaz Yahya Othman memberikan taujihad didalam bab akhlak sesama jamaah, saya yang duduk dihadapan dipanggil oleh beliau untuk kehadapan.
Bila saya menuju kepadanya beliau menghulurkan tangan untuk bersalam, saya menyambutnya dengan malu-malu dan menunduk, lalu beliau berkata ‘ini salah, sepatutnya apabila kita bersalam wajah dan mata hendaklah menghadap dan memandang kepada orang yang kita bersalam, inilah akhlak Rasulullah saw”, katanya.
Saya tunduk kerana malu, namun bila beliau kata sedimikian saya pun memandang wajahnya sambil senyum, “ha ini baru betul”, katanya. Dia sempat bergurau “comel senyum anta”, bertambahlah malunya saya.
Begitulah kami dididik oleh murabbi kami, bukan sahaja perkara berkaitan aqidah, jihad dan perjuangan malahan akhlak sesama muslim pun. Begitulah manisnya berada didalam jamaah yang dididik dengan ilmu.
YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
ADUN Tanjung Lumpur