Home Berita PAS Melaka

Singgah sahur DPPKTB : Sempat urut pegawai Bomba sakit belakang

282
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Apr: Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu (DPPKTB), Kamarul Ariffin Abdullah Zauaui menceritakan pengalaman menarik pasukan edaran ‘Singgah Sahur’ dewan tersebut yang sempat membantu mengurut belakang badan seorang Pegawai Bomba semasa program tersebut.

Menurut beliau semasa mengedarkan kit ‘Singgah Sahur’ di balai-balai Bomba dan Polis sekitar Parlimen Tangga Batu, pada Isnin malam, seorang pegawai bomba yang diziarahi mengadu sakit belakang.

“Kebetulan salah seorang peserta yang ikut sekali program ni adalah Komandan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Tangga Batu, Omar Taib, yang orang kenal sebagai Omar Muallim.

“Dia memang seorang pengurut tradisional dan ‘chiropractic’. Jadi dia tolong urut Pegawai Bomba tu. Alhamdulillah anggota JAM kita dapat beramal tidak kira masa,” ujar beliau ketika dihubungi WARM-Berita PAS Melaka.

Tambah Kamarul, program yang dianjurkan bersama oleh DPPKTB dan JAM Kawasan Tangga Batu ini melibatkan empat Balai Polis iaitu Balai Polis Sungai Udang, Batang Tiga, Tanjung Minyak, Tanjung Kling dan dua Balai Bomba iaitu Balai Bomba Bukit Rambai dan Cheng.

“Biasa dalam tahun-tahun sudah kita bagi makanan sahur. Tapi kali ni kita buat kelainan sedikit, kita bagi kuih raya dan juga kad raya.

“Program ini adalah bagi menghargai sumbangan petugas-petugas dalam kalangan anggota Polis dan Bomba. Harapan kita agar program ini dapat membina hubungan yang baik antara JAM Tangga Batu dengan pihak Polis dan Bomba untuk memudahkan apa-apa kerjasama di masa mendatang,” ujar beliau lagi.