Home Artikel PAS Perlis

Siasat Dalang Di Sebalik Dokumentari Al Jazeera

798
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Agensi berita asing Al Jazeera wajar memohon maaf kepada kerajaan Malaysia atas penyiaran dokumentari yang tidak tepat, kata Ketua Pemuda PAS Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Menurutnya, dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ bukan sahaja mengelirukan, bahkan turut memberikan imej buruk kepada negara.

“Penyiaran dokumentari berdurasi 25 minit 30 saat berkenaan timbul ketika kerajaan Malaysia mendapat pengiktirafan dunia atas kejayaannya dalam menangani Covid-19.

“Sebagai media antarabangsa yang profesional, sepatutnya Al Jazeera merujuk kepada kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum menerbitkan dokumentari berkenaan.

“Tetapi mereka memilih untuk menerbitkan dokumentasi yang sarat dengan pembohongan dan fakta yang bercanggah dan inilah yang menimbulkan persoalan kepada kita, apakah mereka mempunyai ‘hidden agenda’ terhadap negara kita,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Beliau tidak menolak penyiaran dokumentari berkenaan sememangnya berniat jahat dan penerbitannya turut didalangi pihak-pihak tertentu di negara ini.

“Sememangnya, setiap kali isu PATI ini dibangkitkan, akan ada suara-suara yang bangkit membela mereka (PATI) atas nama ‘hak asasi’, ‘kemanusiaan’, ‘perkauman’ dan sebagainya.

“Mereka ini akan sentiasa menentang sebarang usaha kerajaan dalam membenteras PATI hinggakan sanggup menggunakan pengaruh asing bagi memberi tekanan kepada negara.

Justeru beliau menggesa satu siasatan dibuat bagi mengenalpasti pihak yang menjadi dalang dalam penerbitan dokumentari berkenaan.