Home Berita PAS Sarawak

SIAPKAN DIRI HADAPI KEDATANGAN RAMADAN

515
SHARE

 

Budaya masyarakat di Malaysia hanya mengambil kira amalan ibadah pada bulan Ramadan semata-mata tanpa perlu membuat persedian bagi menghadapi kedatangan bulan tersebut.

Bulan Rejab dan Syaaban sebelum kedatangan Ramadan, disediakan Allah kepada umat Islam bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi kemuncaknya pada bulan-bulan berikutnya.

Kedatangan Ramadan didahului oleh Syaaban. Pada amalan sunnah disebutkan sebagai bulan yang paling banyak Rasulullah saw mengerjakan puasa sunat Syaaban. Itu adalah suatu tarbiyah ruhiyah dan badaniyah untuk dicontohi oleh umatnya bagi mengerjakan puasa Ramadan.
Pada masa yang sama, Syaaban ada dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban tetapi pada asasnya ibadat dalam bulan Syaaban itu tidak dilarang. Malah ada hadis-hadis yang menggalakkannya, kerana itu maka malam-malam bulan Syaaban adalah termasuk dalam bulan-bulan beribadah.

Islam adalah agama yang menggabungjalinkan antara ibadah-ibadah badaniyah dengan ibadah ruhaniyyah yang kemuncaknya nanti adalah bulan Ramadan.
Oleh kerana itulah, bila datang bulan Ramadan, Rasulullah saw menyebut dalam hadis sahih, Ramadan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya terbebas daripada api neraka.

Yang mendapat anugerah Allah SWT dari pembebasan daripada api neraka ialah orang-orang yang jiwanya dan hati nuraninya, nafsunya telah tunduk kepada perintah Allah dengan menjadikan mereka manusia yang taat dan patuh kepada Allah kerana melakukan ibadah. Bukan sahaja Syaaban, lebih-lebih lagi Ramadan, malah momentum daripada Syaaban, Ramadan itu akan menjadi lonjakan kepada ibadah yang seterusnya di mana Zulhijjah adalah bulan haji.

Bulan haji dikaitkan pula dengan ibadah maaliyyah dan badaniyah yang menggabungkan ruhani manusia dan jasmaninya melakukan kerja taat kepada Allah SWT yang apabila melakukan ibadat haji mengikut sepertimana disyariatkan Rasulullah saw menyebut haji yang mabrur tidak lain balasannya melainkan syurga.
Oleh yang demikian, bulan Syaaban, Ramadan dan seterusnya hingga kemuncaknya Zulhijjah ialah bulan-bulan yang disediakan Allah SWT balasan yang semuanya menuju kepada kesempurnaan yang berakhir dengan balasan syurga Allah SWT.