Home Berita PAS Terengganu

SG4 Garis tiga fasa laksana 10 agenda bangun ekonomi

82
SHARE

BANGI – Kerajaan Empat Negeri (SG4) menggariskan tiga fasa bagi menjayakan 10 agenda dalam mengembangkan ekonomi negeri-negeri terbabit.

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di fasa pertamaperkongsian pintar dan kerjasama antara SG4 dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, pakar bidang dan ahli akademik, serta semua ‘stakeholders’ mesti dipergiatkan.

Katanya, fasa itu sangat kritikal dalam mengenal pasti potensi, mengumpul sumber, mengurus risiko dan menggalakkan inovasi.

“Fasa 2, SG4 akan membangunkan kerangka tindakan (blueprint) yang komprehensif dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan, kemampuan serta kekuatan aset-aset setiap negeri.

“Fasa ini memerlukan analisa menyeluruh, perundingan berterusan dengan semua pihak berkepentingan, penyusunan strategi yang berdaya saing dan perancangan pembiayaan yang lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, dekat sini, hari ini.

Jelas Menteri Besar Terengganu itu lagi, fasa terakhir adalah melaksanakan projek dan program berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan fizikal di negeri-negeri SG4.

“Paling penting pada fasa ini ialah penglibatan menyeluruh dan komunikasi berkesan antara pemegang taruh (stakeholder) dan pasukan pelaksana, di samping sistem pemantauan dan penilaian yang efisien bagi menjamin hasilnya bermanfaat buat rakyat tempatan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri meletakkan 10 agenda yang perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif SG4 dapat dicapai.

“Antaranya, menjalinhubung sistem pengangkutan dan logistik yang efisien, contohnya untuk Kelantan dan Terengganu menjadikan Transit Development Oriented (TOD) di Stesyen ECRL sektor Kelantan dan Terengganu agar saling berkait.

“Selain itu, fokus pengurusan prospek pelaburan yang bernilai tinggi dan mengutamakan industri hiliran, mengikut keutamaan (niche) negeri masing-masing.

“Di samping, membangunkan pengeluaran komoditi makanan utama yang mencapai tahap sara diri dan berskala industri serta membangunkan rantaian nilai agro makanan yang lengkap.

“Pengeksplorasian dan pengkomersialan sumber asli yang lestari dengan pembangunan industri dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi juga perlu diberi perhatian,” katanya