Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Seruan Solat Hajat dan Munajat Serentak di Seluruh Negara

1992
SHARE

Seruan Solat Hajat dan Munajat Serentak di Seluruh Negara

1. Merujuk kepada kenyataan akhbar dari Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 25 Januari 2020, menyatakan kes novel coronavirus (2019-nCoV) telah dikesan sebanyak empat kes di Malaysia. Khabar ini sangat membimbangkan kerana penyakit ini sangat pantas merebak seperti yang dilaporkan di media negara China.

2. Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengharapkan pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Kesihatan dapat melakukan kawalan ketat di semua pintu masuk antarabangsa, tambahan pula sekarang adalah musim cuti Tahun Baru Cina. Sebaiknya kerajaan melakukan langkah untuk menghalang kemasukan pelancong dari Negara China. Rasulullah SAW ada mengajar kita kaedah berhadapan dengan wabak di dalam hadisnya.

Rasulullah SAW bersabda;

“Apabila kamu mendengar tentang taun di sebuah negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila sudah berlaku di sebuah negeri pula dan kamu di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya”. [HR Bukhari]

3. Pihak DMPP ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti segala nasihat yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

4. Berikutan itu, DMPP ingin menyeru seluruh ahli khususnya Muslimat PAS untuk bersama-sama menganjurkan solat hajat dan munajat secara serentak pada 30 Januari 2020 nanti. Kita bermunajat dan memohon perlindungan daripada Allah Ya Hafiz Ya Muhaimin.

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
1 Jamadilakhir 1441 bersamaan 26 Januari 2020