SERUAN SOLAT HAJAT DAN DOA BUATMU PASIR GUDANG
1. Peristiwa yang berlaku di Pasir Gudang kian meresahkan rakyat Malaysia. Setiap hari bilangan mangsa yang terlibat semakin meningkat. Kesakitan yang dirasai oleh semua mangsa menambahkan lagi luka di hati rakyat Malaysia yang melihatnya walaupun tidak berada di tempat kejadian.
2. Mengikut laporan media tempatan, sehingga semalam dilaporkan lebih 200 mangsa masih menerima rawatan di beberapa buah hospital, pusat perubatan swasta serta klinik-klinik kesihatan yang terdapat di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru. Dan apa yang masih membimbangkan penduduk setempat ialah tahap keselamatan dan status kesihatan kawasan sekitar Pasir Gudang yang masih tidak jelas khususnya dalam lingkungan beberapa radius kilometer dari lokasi kawasan kejadian tercemar.
3. Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu ingin mendesak pihak Kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan yang pantas dan berhemah untuk mengatasi masalah ini. Jika dibiarkan berlarutan bimbang menimbulkan perkara lain yang tidak diingini.
4. Kami juga mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana telah mencemarkan alam sekitar dengan membuang sisa toksik berbahaya sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat. Perbuatan seperti ini seharusnya diberikan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi di masa akan datang.
5. Kepada semua mangsa dan ahli keluarga yang terlibat, kami daripada Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu mendoakan agar semuanya kembali sihat dan pulih seperti sediakala. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan serta melindungi semua penduduk Pasir Gudang dan sekitarnya.
6. Ayuh semua rakyat Malaysia terutamanya rakyat Terengganu, adakan solat hajat khusus untuk mendoakan keselamatan penduduk di Pasir Gudang. Semoga semua pihak mengambil iktibar dengan kejadian ini dan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Islam Memimpin”
Puan Hajah Zarani Othman,
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu.
SERUAN SOLAT HAJAT DAN DOA BUATMU PASIR GUDANG1. Peristiwa yang berlaku di Pasir Gudang kian meresahkan rakyat…
Posted by Zarani Othman on Wednesday, March 13, 2019