Home Minda Presiden

Seruan Al-Aqsa

118
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 24 / 2023]
SERUAN AL-AQSA


Firman Allah SWT:

﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّٰغُوتِ كَانَ ضَعِيفًا٧٦﴾

“Mengapa kamu tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah daripada kalangan lelaki, wanita mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa (dengan berkata), ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, dan berikanlah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berikanlah kami penolong dari sisi-Mu!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang pula pada jalan taghut; oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)”  (Surah al-Nisa’: 75-76)

Al-Quran ialah perintah Allah dan petunjuk-Nya sepanjang zaman. Walaupun sebab turunnya ayat di atas berkenaan penindasan yang zalim terhadap mereka yang lemah di Makkah iaitu golongan yang tidak mampu berhijrah menyelamatkan pegangan Islamnya sehingga ditindas secara zalim yang melampau oleh musuh-musuh Islam. Namun, para ulama’ tafsir menegaskan:

العِبْرَةُ ‌بِعُمُومِ ‌اللَّفْظِ ‌لَا ‌بِخُصُوصِ ‌السَّبَبِ.

“Pengajaran wajib diambil daripada lafaznya yang umum, bukan sebab yang khusus ketika berlakunya peristiwa tersebut.”

Ini bermaksud hukumnya masih berpanjangan sehingga sekarang, berulang di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja berlakunya peristiwa yang sama, kerana al-Quran ialah petunjuk yang kekal sepanjang zaman.

Terkini Masjid al-Aqsa sedang diceroboh dengan ganas oleh tentera, polis dan pelampau Zionis Yahudi, sehingga serangan dilakukan terhadap para jemaah yang sedang beriktikaf dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Bahkan, barang-barang masjid juga dirosakkan dan ada juga yang terbakar hangus. Satu pencerobohan yang nyata dan sangat melampau zalimnya.

Ayat yang disebutkan di atas adalah seruan Allah SWT kepada seluruh umat Islam supaya berjihad dengan segala pengorbanan harta dan jiwa raga, walaupun terpaksa berperang terhadap kezaliman yang sedang berlaku. Firman Allah SWT:

﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩﴾

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.” (Surah al-Hajj: 39)

Keizinan untuk berperang dibenarkan khususnya apabila berlaku serangan terhadap Masjid al-Aqsa, salah satu daripada tiga tanah suci umat Islam. Di situlah tempat bermukimnya para anbiya’ serta berlakunya Isra’ dan bermulanya Mi‘raj yang merupakan satu kemuliaan kepada Rasulullah SAW yang menjadi tetamu Allah dalam peristiwa yang terkenal. Firman Allah SWT:

﴿سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ١﴾

“Maha Suci Allah, yang telah menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’: 1)

Kedudukannya yang mulia mewajibkan umat Islam agar mempertahankan dan membebaskannya.

Ia merupakan suatu kewajipan yang dibebankan kepada kerajaan dan rakyat yang beragama Islam. Walaupun ramai dalam kalangan mereka itu leka, namun kewajipan tetap dibebankan ke atas mereka, bermula dengan penduduk Masjid al-Aqsa yang berjiran di sekelilingnya sehinggalah umat Islam di seluruh penjuru dunia.

Allah memberikan suatu amaran yang keras terhadap kalangan umat Islam yang meninggalkan kewajipan jihad yang telah diwajibkan dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

﴿إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًٔا ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan (kamu) akan digantikan dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan sedikit pun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Tawbah: 39)

Allah SWT memberikan jaminan bahawa Islam tetap akan dipertahankan walaupun ramai bangsa yang mengecewakannya. Akan tetap ada bangsa yang menganut Islam tampil ke hadapan berjuang secara silih berganti mengikut ketetapan-Nya.

Allah SWT berfirman kepada generasi awal dalam kalangan bangsa Arab yang telah diselamatkan oleh Islam, apabila selepas itu mereka bersikap lupa daratan. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿هَٰٓأَنتُمۡ هَٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah itu Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Kekayaan yang diberikan kepada dunia Arab tidak berguna apabila mereka meninggalkan Islam. Oleh itu, kepimpinan Islam diambil alih oleh kaum lain yang menganut Islam sebagaimana pernah beberapa kali berlaku dalam sejarah mutakhir.

Walaupun ajaran Islam mendahulukan perdamaian, tetapi haram menyerahkan penganut Islam, tanah air dan lebih utama lagi tempat sucinya kepada musuh Islam. Khususnya, kepada kalangan mereka yang paling bermusuh terhadap umat Islam. Firman Allah SWT:

﴿لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ٨٢﴾

“Sesungguhnya, kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya, kamu akan dapati orang yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya, kami ini orang Nasrani.’ Hal sedemikian itu disebabkan kerana ada antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.” (Surah al-Ma’idah: 82)

Umat Islam wajib menebus dosa akibat kemurkaan Allah SWT, apabila mereka berpecah belah sehingga berperang sesama sendiri tanpa mempedulikan amaran-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ٤٦﴾

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)

Demikian itulah akibat yang perlu ditanggung apabila meninggalkan Islam yang pernah menjadikan mereka umat yang perkasa dan hebat, sehingga berjaya mempertahankan Islam dan tanah sucinya termasuk Masjid al-Aqsa yang pernah dibebaskan pada zaman Khalifah ‘Umar RA daripada penjajahan Rom. Kemudiannya, pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayubi daripada penjajahan tentera Salib datang daripada Eropah.

Khalifah ‘Umar RA pernah menegaskan:

‌نَحنُ ‌قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا اللهُ بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا ابتَغَينَا العِزَّةَ بِغَيرِ مَا أَعَزَّنَا الله أَذَلَّنَا اللهُ.

“Kita adalah umat yang gagah perkasa dan mulia bersama Islam, apabila kita mencari yang lain daripada Islam dan berpegang dengan yang lain daripadanya, nescaya kita menerima hukuman Allah menjadi umat yang hina.”

Sebenarnya, apabila Islam ditinggalkan sekadar menjadi amalan peribadi masing-masing, bukan lagi ajaran menyeluruh mengikut kesempurnaannya, kemudian kita berpecah belah mengikut kefahaman mazhab yang sempit dan kebangsaan yang fanatik, keadaan itu menyebabkan umat Islam hilangnya kuasa dan dipecahkan oleh musuh dan diri sendiri. Perkara ini telah menyebabkan berlaku lebih satu abad yang lalu, kejatuhan kerajaan Islam yang menjadi kuasa besar yang memayungi dunia Islam.

Akibatnya, tanah air umat Islam dijajah, dipecahkan dan dibahagikan dalam kalangan negara penjajah. Termasuklah Palestin yang diserahkan kepada Zionis bagi menjadi pangkalan menentang kebangkitan semula umat Islam dan mengawal kepentingan penjajah itu.

Apabila Allah SWT berjanji bahawa Islam tidak boleh dipadamkan cahayanya dan tidak boleh dimatikan pergerakan umatnya, maka kini tiba masanya untuk kita kembali semula ke pangkal jalan yang betul serta bangkit semula menjadi umat yang kuat dan perkasa bersama Islam.

Rasulullah SAW berjanji bahawa tetap adanya kumpulan Islam di setiap penjuru dunia dan khususnya di bumi Bait al-Maqdis, sebagaimana sabdanya:

لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌عَلَى ‌الدِّينِ ‌ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Masih ada dalam kalangan umatku satu kumpulan yang menegakkan agamanya (Islam) dan menghadapi musuh mereka dengan gagah perkasa; sehinggakan orang yang mengecewakan mereka tidak dapat mendatangkan sebarang mudarat kepada mereka, melainkan mereka hanya menghadapi kesulitan dan kesempitan; mereka meneruskan perjuangan hingga datangnya urusan Allah dalam keadaan mereka terus begitu.”

Lalu, para sahabat bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

 “Di manakah mereka berada, wahai Rasulullah?”

Sabda Rasulullah SAW:

بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

“Mereka berada di Bait al-Maqdis dan mengelilingi Bait al-Maqdis (di sekitarnya).” (Riwayat Ahmad, no. 22320 dan al-Tabrani Dalam al-Mu‘jam al-Kabir, no. 7643)

Kini, Bait al-Maqdis dan mereka di sekelilingnya sedang bangkit berjuang menghadapi keganasan Zionis dengan gagah berani, walaupun hanya dengan tangan kosong tanpa bersenjata. Namun, ada pula kalangan yang mengaku Islam telah mengecewakan dan melakukan perkara-perkara yang terpesong seperti berusaha melakukan normalisasi dengan negara haram Zionis dan mengiktirafnya. Malah, ada yang lebih terlanjur mahu menyamakan agama Islam dengan agama Yahudi atas nama agama Abraham (Ibrahim).

Kita percaya bahawa tindakan yang mengecewakan itu pasti akan gagal sepertimana janji Rasulullah SAW. Perjuangan di Bait al-Maqdis dan mereka yang berada di sekelilingnya pasti akan berjaya mengikut janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩﴾

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.” (Surah al-Hajj: 39)

Selain itu, juga perlu difahami permainan politik menipu dan menangguh-nangguhkan dengan pujukan atas nama perdamaian dan penyelesaian dua negara (two-state solution). Pada masa yang sama, negara haram Zionis tidak menerimanya, sedangkan negara Arab dan Islam dipaksa menerimanya dengan berbagai-bagai janji bohong dan tekanan yang zalim.

Sedangkan keganasan terhadap rakyat Palestin terus-menerus dilakukan dan makin memuncak dengan kedatangan pendatang Yahudi, penubuhan pasukan khas dan bantuan senjata yang mencurah daripada negara-negara di bawah pengaruh Zionis.

Jangan dilupakan bahawa cita-cita pelampau Yahudi tetap mahu merobohkan Masjid al-Aqsa supaya digantikan dengan Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi). Perjuangan yang tidak dinafikan oleh mereka juga ke arah menubuhkan Negara Agung Israel (The Greater Israel) yang paling berkuasa di dunia.

Namun, terdapat juga daripada kalangan Yahudi Ortodoks bermazhab Naturei Karta bahawa apa yang diperjuangkan itu adalah bagi menggali kubur menamatkan bangsa Yahudi yang dilaknat Allah SWT.

Maka, umat Islam tidak seharusnya terus ditipu dan dipermainkan dengan hina, kerana jahil terhadap agama sendiri dan jahil juga berkenaan agenda musuh.

Kita pernah menyaksikan pada akhir tahun 60-an berlaku peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa oleh pelampau, sehingga menggerakkan negara-negara Islam mengadakan sidang tergempar dan ditubuhkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan penuh semangat. Malangnya, suaranya menjadi semakin lemah dan tidak bermaya kerana berlakunya perpecahan umat.

Kita mengharapkan peristiwa mutakhir ini lebih menyedarkan umat Islam dan para pemimpin mereka, supaya bangkit semula dengan penuh kesedaran dan keinsafan.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 15 Ramadan 1444 / 6 April 2023