Home Artikel PAS Perlis

Seribu Sertai Himpunan Bantah ICERD Negeri Perlis

634 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Kira-kira seribu umat Islam telah menyertai Himpunan Bantah ICERD Negeri Perlis yang berlangsung di Astaka Masjid Alwi, Kangar, selepas Solat Jumaat petang tadi.

Himpunan secara aman yang berlangsung serentak di seluruh negara itu diadakan bagi memberi isyarat jelas bantahan umat Islam terhadap sebarang usaha untuk mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Selesai Solat Jumaat, pekarangan astaka dipenuhi dengan para peserta himpunan yang terdiri daripada para penyokong parti politik Melayu-Islam (PAS dan Umno), badan bukan kerajaan (NGO), golongan mahasiswa serta masyarakat Melayu-Islam yang datang daripada seluruh pelusuk negeri Perlis.

Turut hadir menyatakan bantahan, Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis yang juga ADUN Sanglang, YB. Mohd. Shukri Ramli serta Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Pada akhir himpunan, dua memorandum telah diserahkan kepada Menteri Besar Perlis, Y.A.B. Datuk Seri Azlan Man masing-masing oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan dan Ketua Pemuda Umno Negeri Perlis, Harmizan Abdul Halim.