Home Berita PAS Pahang

Serahan bantuan secara Pandu Lalu mudahkan penerima

132
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

Jurufoto: Mokhtar dan Sahir Abdul Rahman

BENTONG, 27 Julai :: Program penyerahan bantuan secara Pandu Lalu di luar pagar sekolah telah memudahkan 36 wakil keluarga terdiri daripada golongan asnaf yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Para penerima tersebut merupakan ibubapa dan penjaga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, di sini.

NGO Abrar Care Malaysia dengan kerjasama PAS DUN Ketari telah menyampaikan Kotak Makanan Asas Musaadah 3.0 tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Biasanya pihak sekolah menggunakan kaedah ini dalam urusan pemberian bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau pemulangan buku teks, kali ini ia digunakan untuk pemberian sumbangan Covid-19,” kata Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) SK Sulaiman Junaidi Mohamad, mewakili pihak sekolah.

“Terima kasih YADIM, Abrar Care dan PAS DUN Ketari kerana cakna dan perihatin terhadap nasib anak-anak pelajar asnaf kami. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi NGO Abrar Care, merangkap Penyelaras PAS DUN Ketari, Roslan Mad Esa berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya menyantuni semua golongan yang terjejas akibat COVID-19 ini.

“Ia memang satu tanggungjawab besar. Jawatan dan amanah  yang tersandar di bahu pemimpin adalah ujian berat. Kita akan berusaha dan mencari jalan membantu golongan ini kerana setiap yang berhak, perlu ditunaikan hak mereka.

“Misi bantuan COVID ini tak pilih bulu. Semua golongan yang memerlukan kita akan beri. Apa yang mereka berhak dapat, menjadi tanggungjawab pemimpin atau pihak berkuasa menyedia dan memberi.

“Harapan saya agar semua pihak teruskan bersabar dan berdoa agar musibah ini segera hilang dan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan seperti sediakala, insyaAllah,” ujar beliau.

Turut hadir di dalam sesi penyampaian sumbangan, Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan, Mohammadin Mustaffa.