Home Berita PAS Terengganu

Sepakat Kunci Utama Pesawah Lonjak Hasil

2
SHARE

SETIU – Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa kesepakatan dalam kalangan pesawah merupakan asas terpenting untuk melonjakkan pengeluaran padi negeri, khususnya dalam pengurusan air sawah yang sering menimbulkan kekeliruan antara kawasan jelapang dan luar jelapang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kelestarian dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, penyelarasan tindakan sesama petani amat diperlukan bagi memastikan sistem pengairan berpusat dapat berfungsi secara teratur dan tidak mengganggu proses pertumbuhan tanaman.

Menurut beliau, perbezaan keperluan air antara petani menyebabkan ketidakseragaman yang akhirnya menjejaskan keseluruhan kawasan sawah.

“Isu kesepakatan di kalangan petani ini berlaku bukan hanya di luar jelapang, malah di dalam jelapang juga.

“Ada petani nak mesin padi dan minta tutup air, dalam masa sama ada petani padinya baru nak berbuah dan masih perlukan air,” katanya ketika merasmikan Majlis Seminar Pengukuhan Institusi Pesawah Kepada Petani Luar Jelapang Negeri Terengganu Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Awam Setiu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Osman Abdullah; Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor.

Beliau menegaskan bahawa bekalan air negeri berada pada tahap mencukupi, namun penggunaan yang efektif bergantung kepada kerjasama berjadual di peringkat komuniti pesawah.

“Kita buat perjumpaan dengan semua petani untuk beritahu bahawa air kita banyak dan mencukupi.

“Buka atau tutup air sangat mudah kerana air percuma sahaja dan hanya dikawal dengan hujung jari,” ujar beliau.

Dato’ Dr. Azman turut mengingatkan bahawa mekanisme pengairan berpusat memerlukan disiplin bersama bagi mengelakkan pertindihan keputusan yang boleh mengakibatkan kerugian.

“Sistem air kita berpusat, bila buka masuk semua, bila tutup kering semua, ini kita mahu petani faham.

“Sebab itu petani perlu keseragaman, adakan mesyuarat baik-baik dan atur masa sebaiknya supaya kesepakatan antara petani berlaku,” tambahnya.

Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa perpaduan sesama pesawah menjadi pemangkin utama bagi menjamin produktiviti padi yang lebih tinggi pada masa depan.

“Kita nak petani bersatu demi kepentingan bersama.

“Apabila kita bersatu hati dan bersepakat, pengeluaran padi boleh dinaikkan,” ujarnya.