Home Berita PAS Perlis

Sentuhan Hati dan Jiwa Ramuan Bentuk Insan Soleh

828
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Para guru PASTI seharusnya merasa bersyukur kerana terpilih untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik manusia, satu tugas besar yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W.

Demikian ingatan yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan ketika berucap merasmikan Kursus Semester 2 Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) IPPM Negeri Perlis dekat sini semalam.

Katanya, pada usia kanak-kanak, manusia mudah dibentuk dan dididik, justeru acuan pendidikan yang terbaik perlu diberikan kepada mereka agar membesar sebagai insan soleh dan solehah.

Tambahnya lagi, selain menggunakan segala kemahiran yang ada, sentuhan hati dan jiwa yang seimbang adalah faktor paling penting dalam membangunkan jiwa manusia.

“Ingatlah, dalam kita melaksanakan tugas mendidik, perlu sentuhan hati dan jiwa secara seimbang serta bergerak sebagai satu pasukan untuk kita lahirkan insan soleh dan solehah,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh para guru pelatih dalam meneruskan pengajian mereka di peringkat diploma meskipun dibebani dengan tugas-tugas di PASTI.

“Kepada semua guru, syabas dan tahniah saya ucapkan, atas komitmen yang tinggi untuk menyempurnakan kursus yang diikuti.

Harapan kita, semoga anda semua terus kekal bersemangat hingga tamat kursus semester 7 dan bergraduasi nanti,” ujarnya lagi.

Seramai 30 orang guru pelatih telah menghadiri kursus anjuran Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) Negeri Perlis selama dua hari bermula 14 September lalu, di Putra Putri Lodge, Repoh.

Pelbagai slot telah diikuti oleh para peserta sepanjang kursus berlangsung, antaranya sesi kuliah, bengkel, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), slot kerohanian serta aktiviti kawad.