Home Artikel PAS Perlis

‘Semuanya Kerana Sivagangga…’

1145
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

Sanglang adalah sebuah mukim yang terletak di selatan negeri Perlis. Berkeluasan cuma 5648 hektar, Sanglang memiliki sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 27 kilometer daripada bandar Kangar.

Menurut sejarahnya, Sanglang pada asalnya berpusat di Kuala Sanglang, satu mukim di dalam Negeri Kedah. Namun, setelah Perlis diambil dan dibentuk oleh Siam, mukim Sanglang berpecah  kepada dua; satu di Perlis dari Kuala Sanglang ke Simpang Empat dan satu lagi dari Kuala Sanglang meliputi Kampung Tok Mengkula, Kampung Sanglang hinggalah ke Kuala Jerlun.

Dengan populasi penduduk tidak sampai 20,000 orang (17,200 orang menurut data bilangan penduduk tahun 2017), nama Sanglang sebelum ini tidaklah begitu dikenali, melainkan sebagai kerusi tradisi yang dimenangi oleh PAS dalam siri-siri pilihan raya umum.

Namun, siapa sangka nama Sanglang tiba-tiba menjadi bahan bualan penduduk Malaysia. Pekan kecil yang menghadap Selat Melaka ini mula menjadi tumpuan media yang datang dari segenap pelosok negara.

Semuanya Kerana Sivagangga

Semuanya kerana nama ‘Sivagangga’, nama sebuah daerah dalam negeri Tamil Nadu, India yang kemudiannya ‘dimasyhurkan’ sebagai nama bagi satu kluster Covid-19 bermula di pekan Napoh, Kedah, yang pada asalnya tiada kena mengena dengan Sanglang, mahupun Perlis.

Sivagangga mula ‘merempuh’ Napoh apabila seorang pemilik restoran yang pulang dari India pada 13 Julai lalu, gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah seperti yang telah ditetapkan. Ia melonjakkan nama pekan Napoh sehingga menjadi terkenal di seluruh negara.

Dalam masa sepuluh hari, ‘Sivagangga’ menular ke Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim di Kedah, merentas ke Sanglang di Perlis dan kemudiannya merebak sejauh 150 km ke Sungai Bakap di Pulau Pinang.

Sehingga artikel ini ditulis, seramai 45 orang daripada 3 buah negeri telah disahkan positif Covid19 daripada Kluster PUI Sivagangga.

Berkurung Kerana TEMCO

Jika sebelum ini ‘Sivagangga’ telah memaksa Kerajaan Negeri Kedah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) di Napoh dan beberapa kawasan lain dalam dua daerah di Kedah pada 3 Ogos lalu, ‘Sivagangga’ jugalah yang ‘mengheret’ penduduk di mukim permai Sanglang (Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul) untuk turut terpaksa ‘berkurung’ selama sebulan bermula semalam (8 Ogos 2020).

Sehingga hari ini, ‘Sivagangga’ telah menyebabkan seramai 11 orang penduduk Sanglang (10 daripadanya daripada satu keluarga!) telah disahkan positif COVID-19, manakala lebih 800 orang penduduk daripada dua kampung berkenaan telah diarahkan menjalani ujian saringan.

Kluster keramat ini sememangnya menyusahkan, memaksa peniaga menutup pintu kedai mereka, menghalang kanak-kanak untuk bersekolah dan menyebabkan para nelayan terpaksa duduk di rumah. Kerananya juga, anggota keselamatan dan petugas kesihatan pula terpaksa dikerah bertugas lebih masa.

Apa yang pasti, nama ‘Sivagangga’ bukanlah nama yang mahu disebut-sebut oleh penduduk di Sanglang, namun ‘Sivagangga’lah yang telah menyebabkan rakyat Malaysia mula menyebut-nyebut nama pekan-pekan kecil seperti Napoh dan Sanglang!