Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 9 Mac: Isu-isu melibatkan akidah umat Islam di negara ini tidak wajar dipertanggungjawabkan ke atas pihak-pihak berkaitan agama semata-mata.
Jelas Presiden PEMBELA, Aminuddin Yahya, tugas berkenaan sebaliknya wajib dipikul oleh semua umat Islam dengan apa cara sekalipun.
Katanya lagi, PEMBELA sendiri turut memainkan peranan dalam usahanya membela nasib tiga anak Loh Siew Hong yang diarahkan kembali ke pangkuan ibunya oleh mahkamah baru-baru ini.
“Kenapa kita angkat isu ini?
“Pertama, ia melibatkan soal akidah, kedua ia melibatkan soal fitnah, yang dibawa oleh golongan-golongan yang saya istilahkan sebagai anti-Islam.
“Dan yang ketiga yang paling penting ialah (kerana) berlakunya kelompongan di dalam sistem perundangan negara dan kehakiman negara,” katanya ketika berucap pada forum bertajuk ‘Mempertahankan Aqidah Tiga Kanak-Kanak Mualaf – Tanggungjawab Siapa ??’ di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini semalam.
Aminuddin turut mendedahkan, dalam kes kanak-kanak berkenaan, ada pihak cuba mengelirukan masyarakat kononnya isu sebenar bukanlah isu agama sebaliknya isu berkaitan hak jagaan kanak-kanak terbabit.
“Orang banyak menekankan soal isu hubungan anak dengan ibu, itu sahaja, sampai ada pemimpin tertentu yang beragama Islam bercakap, tidakkah Islam mementingkan hubungan ibu dan anak?
“Bagi saya ini satu penjelasan separuh masak kerana Islam lebih daripada itu, soal akidah soal yang paling penting yang tidak ditekankan di situ.
“Kalau kita tengok kepada peristiwa-peristiwa sebelum ini , apabila si anak kembali kepada ibunya yang bukan muslim, maka anak yang sudah Islam itu akan balik kepada agama asalnya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa kecewanya apabila ada pihak yang cuba mengugut pihak berkuasa agama negeri ini dalam isu tersebut.
“Apabila ada pihak mendesak MAIPs agar tidak mengesahkan keislaman mereka, bagi saya dalam bahasa yang lebih kasar, (seolah-olah) menyuruh Maips memurtadkan kembali anak ini,” katanya.