Home Berita PAS Wilayah

Seminar Matematik Garap Teknik Belajar Berkesan

942
SHARE

LEMBAH PANTAI: Pendedahan teknik mudah dan efektif bagi subjek Matematik menjadi tarikan utama dalam penganjuran Seminar Matematik di sini, baru-baru ini.

Bengkel di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS kawasan dengan kerjasama AMEERAH adalah melibatkan penyertaan warga Lembah Pantai dan sekitarnya yang berusia 10-12 tahun.

Pengarah program, Tarmizi Abdullah berkata program terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif PAS Lembah Pantai yang turut memfokuskan kepada bidang pendidikan tanpa mengenepikan golongan yang kurang berkemampuan.

“Kita melihat kepentingan persediaan yang rapi dalam kalangan pelajar mampu menyumbang kepada prestasi yang lebih cemerlang.

Justeru, PAS kawasan mengambil langkah mengadakan seminar agar pelajar terdedah dengan teknik pembelajaran berkesan di samping mengenakan yuran yang rendah bagi membolehkan golongan yang kurang mampu juga dapat menyertai seminar ini,” ujar beliau.

Bengkel ini mengetengahkan Cikgu Rauf selaku tenaga pengajar yang merupakan pakar dalam bidang ini.

Ditanya mengenai tahap pencapaian peserta setelah penganjuran dua siri sebelum ini, Cikgu Rauf melihat ada perubahan dalam kalangan mereka yang mengikutinya dari awal.

“Alhamdulillah, saya melihat mereka dapat memahami teknik mudah yang diajarkan sebelum ini dan mereka teruja untuk mempelajari lagi kaedah-kaedah yang akan didedahkan kelak,” ujarnya.

“Kita hanya mampu mendorong seseorang individu untuk berjaya, namun keinginan ke arah itu perlu dipupuk diri sendiri,” tambah beliau.

Seminar yang melibatkan penyertaan hampir 50 orang ini dilihat mampu menjadi medium mendidik minat mereka terus berusaha mencapai kejayaan terutamanya dalam bidang pendidikan.