Sabtu,3 Jun – “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Berbekalkan tema itulah, PAS Kawasan Batang Lupar dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menyempurnakan Program Semarak Kasih Ramadhan dengan jayanya petang tadi. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk berkongsi rezeki kurniaanNya serta meringankan beban golongan-golongan yang kurang mampu sempena bulan yang mulia ini. Bak kata orang, “Yang sedikit,sama sedikit. Yang banyak, sama banyak”. Semua saling merasa rezeki yang ada.
Sempena program ini, seramai sembilan orang fakir miskin di Kg. Hilir Sebuyau telah menerima sumbangan berupa beras fidyah dan barangan dapur. Kebanyakan penerima sumbangan merupakan warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kurang upaya untuk bergerak serta ada juga antara penerima sumbangan merupakan saudara baru.
Semua sumbangan telah sampaikan oleh Pn Hamidah Mokhtar, Setiausaha PAS Kawasan Batang Lupar bersama En Hamdan bin Sulaiman iaitu Ketua Cawangan Pas Kg. Hilir Sebuyau serta beberapa orang wakil PAS yang lain. Program ini secara tidak langsung merupakan ziarah mahabbah antara wakil PAS dengan penduduk Kg. Hilir Sebuyau dan diharapkan agar jalinan mesra ini berkekalan.
Semoga dengan sumbangan yang sedikit ini dapat menggembirakan hati para penerima sumbangan serta menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna buat mereka. Bukan nilai yang menjadi ukuran sebuah kegembiraan. Jutaan terima kasih juga diucapkan buat semua penyumbang dan didoakan agar kalian sentiasa dilimpahi dengan rezeki yang berkat olehNya.
“The more we share, the more we have”
PAS Kawasan Batang Lupar
{jathumbnail off}