Home Berita PAS Sarawak

Semarak Kasih Hijau Meriah di Petra Jaya

1213
SHARE

31 Disember 2017, Petra Jaya – Sempena tibanya tahun baru 2018 Lajnah Kebajikan dan Kebajikan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak dengan kerjasama PAS Kawasan Petra Jaya telah mengambil inisiatif menganjurkan program Semarak Kasih Hijau.

Program ini telah dirasmikan oleh Dr. ‘Uyun Abdul Malek yang merupakan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Pusat. Bersama-sama Dr. ‘Uyun dalam program ini iaitu Dr. Reen Mohd Amin, selaku ketua Unit Muslimat Medical Team (MUSMEDIK), salah satu unit di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM).

Turut hadir di majlis ini adalah Puan Habsah bt Bujang, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Negeri Sarawak merangkap Ketua Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya, En. Zaharuddin bin Naruddin, Pengarah Pilihanraya PAS Sarawak dan En. Morshidi Bin Hassan, Yang Dipertua PAS Kawasan Petra Jaya.

Beberapa aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan program tersebut seperti penyampaian Sekampit Beras Buat Saudaraku, penyampaian barangan persekolahan, pemeriksaan kesihatan percuma dan pertandingan mewarna.

Seramai 43 orang penduduk yang memerlukan di sekitar Petra Jaya telah menerima sekampit beras setiap orang. Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur atas pemberian beras tersebut yang sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka terutama ketika menjelang tahun baru yang memerlukan banyak perbelanjaan.

Program Semarak Kasih Hijau turut meraikan adik-adik yang bakal kembali ke sekolah pada tahun 2018 dengan penyampaian beberapa barangan keperluan sekolah kepada mereka. Jelas terpancar kegembiraan di wajah 31 orang adik-adik dari keluarga yang kurang berkemampuan saat menerima barangan keperluan sekolah tersebut.

Selain itu, Muslimat Medical Team (Musmedik) peringkat Negeri Sarawak turut dilancarkan. Musmedik ini merupakan pasukan perubatan yang dianggotai oleh para muslimat yang bergerak secara sukarela di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat. Pasukan ini dibentuk untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat terutama bagi program-program muslimat.

Dalam ucapan perasmian, Dr. ‘Uyun Abdul Malek turut menyatakan komitmen PAS dalam masyarakat bukan sekadar bergerak atas dasar politik semata-mata. Tetapi PAS turut sama turun ke lapangan bersama masyarakat dalam aktiviti-aktiviti bersifat kebajikan seperti program Semarak Kasih Hijau ini. Harapan beliau agar PAS akan terus diterima oleh masyarakat Sarawak dengan baik.

Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak juga dengan berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, terutama kepada individu-individu yang dermawan yang telah menghulurkan sumbangan. Tidak lupa juga kepada pihak Muslim Care Malaysia yang juga banyak menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Sesungguhnya, segala jasa dan sokongan pihak Muslim Care Malaysia dan semua penyumbang dalam menjayakan apa jua program di Sarawak ini sangatlah bermakna dan akan dikenang sebagai satu sumbangan yang amat dihargai.

Semoga kerjasama dan sokongan padu seperti ini akan berterusan di masa akan datang.

Semoga hanya Allah yang dapat membalasnya dengan segala kebaikan kepada semua penyumbang tidak kira dari individu mahupun NGO, semoga kalian terus dalam Rahmat dan Redha Illahi. Allahumma Aameen.

Jazakumullahu Khair al Jazaa’

Siiru ‘ala barakatillah.

Muslimat Memacu Kemenangan

Sejahtera Bersama Islam