Home Artikel PAS Selangor

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang – Selamat Bermuktamar : Jangan Takut Menyuarakan Pandangan Kerana Ia Amanah Dari Ahli

776
SHARE

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ (Surah Al-Imran : 159)

Maksudnya : “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. “

Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang (DPPKK) mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh pimpinan dan perwakilan pemuda seluruh negeri yang akan bermuktamar pada 12 September 2020 dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa Kelantan Darul Naim

Mesyuarat adalah arahan Allah SWT dalam Al-Quran dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan serta perjuangan baginda. Daripada mesyuarat ini Rasulullah SAW lazimi perbincangan secara kritis dan mapan dalam masa yang sama terus meninggikan syariat Islam walau apa jua rintangan yang bakal dihadapi oleh umat Islam. Sehinggalah ke hari ini tercatat sejarah agung dalam peradaban Islam, Kota Madinah yang diuruskan oleh Rasulullah SAW sebagai permulaan tapak umat Islam melebarkan sayap Islam diseluruh dunia.

Mesyuarat juga adalah medan muhasabah dan islah yang diadakan sepanjang tahun yang sepatutnya menyemarakkan Amar Makruf dan Nahi Mungkar yang merupakan asas tugas gerakan Islam. Konsep ini perlu diterapkan sebaiknya dalam gerakan Islam yang kita sayangi bersama ini agar dipandu dengan neraca pahala dan dosa mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Muktamar juga disebut sebagai medan untuk memberi pandangan dan cadangan untuk
memastikan agenda jemaah terus melaksanakan apa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT dan dipesan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jangan malu bahkan takut untuk memberi buah pandangan yanga bernas apatah lagi gagasan kita hari ini membawa panji Islam untuk terus dimartabatkan di tanah air Malaysia. Ikutilah seperti mana yang dilakukan oleh para sahabat, bila diamanahkan untuk berada di tapuk kepimpinan, mereka sentiasa mengharapkan sokongan, cadangan dan teguran daripada sahabat yang lain agar apa yang dibawa tidak terjejas serta terpesong daripada panduan syarak.

Sama-sama kita ambil panduan dan pengajaran seperti mana yang telah dinukilkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada para sahabat setelah beliau dilantik menjadi Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama :

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

“Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.

“Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.”(Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Akhir sekali DPPK Klang mendoakan keselamatan perjalanan pergi dan pulang kepada seluruh pimpinan dan perwakilan muktamar kali ini. Semoga kita terus menggerakkan legasi kepimpinan yang takut kepada dosa dan azab Allah SWT serta mengejar pahala Allah SWT dengan teguh bersama prinsip dan syarak Islam.

سيروا على بركة الله

“ISLAM MEMIMPIN”

Solihuddin Mohamad Jahar
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang (DPPKK)

11 September 2020 | 23 Muharam 1442H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#IslamMemimpinPerpaduan