Bangi, Selangor | 11 September 2020
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi ketika berucap merasmikan Muktamar Siswa PAS mengingatkan mahasiswa agar melakukan persediaan menghadapi kehidupan selepas alam kampus.
“Mahasiwa perlu cakna dan tahu mengenai cabaran yang dihadapi dalam dunia sekarang dan tahu bagaimana ingin memposisikan diri dalam arena dunia baru. Selain itu, kita juga perlu ada sikap yang melambangkan kesesuaian untuk menghadapi cabaran dengan melahirkan sikap matang, jiwa yang besar dan mempunyai halatuju tersendiri yang jelas.
“Mahasiswa juga kena mempelbagaikan teknik dan kemahiran yang perlu seperti pengurusan rutin harian, pengurusan masa yang baik, teknik pergaulan dengan masyarakat, negosiasi antara dua pihak dan pelbagai lagi.
“Akhir sekali, tingkatkan ilmu dalam memahamkan diri tentang perjuangan melalui pembacaan buku-buku terbitan PAS,” ujar beliau sebelum merasmikan muktamar tersebut.
Beliau mengingatkan cabaran yang bakal dihadapi mahasiswa ialah mad’u yang tidak memahami hala tuju perjuangan dan individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan organisasi.
“Duduk dalam sebuah organisasi, tak puas hati. Keluar bawa hal yang tak puas hati sekali. Maka wujudlah pelbagai kelompok-kelompok yang hanya berjuang pada dasar ketidak puasan hati. Tuan tuan rasa akan pergi kemana golongan ini?” persoal beliau kepada mahasiswa yang hadir.
Beliau turut menekankan bahawa mahasiswa perlu menguasai media sosial sebagai salah satu medium dakwah yang menjadi pilihan anak muda hari ini.
“Explore dan kuasailah media sosial walau apa jua kaedah selagi mana tak langgar syariat. Teruslah bereksplorasi diluar sana. Kenapa? Sebab kalau bukan kita yang kuasai lambakan informasi di media sosial. Maka waktu itu kita telah membenarkan semua strategi media sosial yang menjatuhkan negara melambak di luar sana.”
SiswaPAS adalah sebuah badan politik pelajar yang pertama berdaftar di Institut Pengajian Tinggi yang telah berusia setahun penubuhannya. Objektif utama penubuhan persatuan ini ialah untuk melahirkan mahasiswa sejahtera dalam menyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS), memperkasakan hala tuju PAS dari aspek pendidikan, kepimpinan dan dakwah serta memupuk Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam kalangan mahasiswa.
Tenure kedua SiswaPAS 2020/2012 diketuai oleh Saudara Hafizan Hechanova dari UKM. Turut hadir sama sebagai tetamu jemputan pada muktamar kali ini adalah mahasiswa UKM, UM, UPM, USIM, UIAM, UMNOSiswa dan Siswa MCA.
Kredit Oleh Azad Shidee
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor