Home Minda Presiden

Seruan Selamatkan Al-Aqsa

603
SHARE

SERUAN SELAMATKAN AL-AQSA

Berita terkini negara haram Israel sedang mengganas di Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya, yang menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Ka’abah, tanah suci ketiga bagi umat Islam selepas Kota Suci Makkah dan Madinah, destinasi Israk Rasulullah S.A.W. dan bermulanya Mikraj apabila dijemput menjadi tetamu Allah. Peristiwa yang wajib diimani oleh umat Islam, kerana kisahnya dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis yang sahih lagi mutawatir.

Bumi dan sekelilingnya dinamakan bumi para anbia’ yang dimuliakan semuanya oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi. Mengikut Islam bukan hanya Musa dan Isa sahaja yang disanjung. Maka, umat Islam menjadi pemegang amanah yang dapat memeliharanya dengan baik dan memberi hak kepada penganut semua agama yang memuliakannya, khususnya penganut Yahudi dan Kristian, sejak Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom Byzantine yang menyekat pihak yang lain yang tidak seagama dan semazhab.

Allah berfirman:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah Al-Hajj: 40)

Kini tanah suci ini ditakluk oleh Zionis Yahudi dengan sokongan Zionis Penjajah Barat melalui Perjanjian Balfour yang telah genap 100 tahun peristiwanya. Langkah yang ditentang juga oleh Mazhab Ortodok Yahudi (Natorikarta) yang berpegang dengan kitab Taurat yang asal mengharamkan penubuhan negara itu, kerana menjadi sebab berkuburnya bangsa Yahudi.

Namun, kalangan Zionis yang fanatik perkaumannya tetap berjuang bagi menegakkan negara impian keagungan bangsa Yahudi bersimbolkan Empayar Nabi Sulaiman yang menakluk dunia. Dengan menguasai ekonomi, mereka berjaya menguasai politik dan media, khususnya di negara besar seperti Amerika dan kebanyakan negara Eropah, sehingga memaksa semua pemimpinnya menyokong Israel dan melindunginya yang dikemukakan dalam setiap kempen pilihanraya dan setelah berkuasa sehinggalah melindungi negara haram itu melalui pertubuhan  antarabangsa, serta menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan mempengaruhi Mahkamah Antarabangsa untuk menjaga keselamatan Israel dan menjaga pengkalan tentera barat yang ditempatkan disekitarnya.

Malangnya negara umat Islam khususnya negara Arab yang berkedudukan geografi, demografi dan menguasai sumber kekayaan bumi dan tenaga manusia gagal menghadapi cabaran yang membahayakan Masjid Al-Aqsa yang diancam sehingga untuk dirobohkan bagi mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.

Paling malang dan melucukan lagi, ketika penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitarnya sanggup mempertahankan Tanah Suci itu dengan senjata si miskin atau tangan kosong, tiba-tiba negara Arab yang kaya-raya itu menganjurkan Sidang Kemuncak Riyadh bersama Presiden US Donald Trump dengan dijemput sama pemimpin negara Islam, menyusuli Sidang Kemuncak Negara Teluk sebelumnya bersama PM British Teresa May.

Seterusnya diisytiharkan pula Resolusi Riyadh, dikatakan tanpa kehadiran kebanyakan para pemimpin yang hadir kerana sudah pulang. Resolusinya penubuhan Nato Al-Islam yang bertujuan menghadapi bahaya Iran, bukannya Israel. Adapun pelaksanaannya pula mengepung Qatar yang kerdil, bukannya Iran. Oleh sebab Qatar menyokong Hamas yang dikira pengganas kerana berjihad hanya di Palestin dan memerintah Gaza melalui pilihanraya secara demokrasi, tetapi dikepung dan dipotong segala kemudahan sehinggalah eletrik. Sebabnya juga kerana Qatar menyokong Ikhwan Muslimin yang menang pilihanraya secara demokrasi di Mesir tetapi dirampas kuasa dan Presidennya Dr. Muhamad Morsi daripada Ikhwan dipenjarakan dan dikenakan hukuman mahkamah bertubi-tubi. Apakah maksud itu semua, sehingga Masjid Al-Aqsa dan Palestin dilupakan?

Malangnya pula, media barat menyebarkan maklumat banyak negara Arab itu sedang mengurat negara haram Yahudi Israel yang menggodanya. Sudah ada perjumpaan secara senyap dan terbuka, bahkan sudah banyak yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan ekonomi untuk membina kekayaannya.

Di samping sudah banyak duit yang dihabiskan kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan mungkin ada lagi yang akan dinyalakan untuk membakar duitnya. Siapa yang menang menjadi arang dan siapa yang kalah menjadi abu, yang kenyangnya ialah negara barat yang masih menjadi tuan dalam percaturan yang berlaku.

Apakah yang berlaku menyatakan bermulanya sabda Rasulullah S.A.W?

“Kecelakaan bagi bangsa Arab kerana kejahatan yang menghampiri mereka” (Diriwayatkan oleh Bukhari 138/4 no. 3346, Muslim 2207/4 no. 2880)

Dimanakah Liga Arab yang ditubuhkan kerana menentang penjajah? Dimanakah pula OIC yang ditubuhkan oleh Sidang Kemuncak Negara Islam kerana pelampau Yahudi membakar Masjid Al-Aqsa?

Keadaan terkini lebih besar daripada seorang Yahudi yang membakar Masjid Suci itu, disebabkan kerajaan haram itu menyekat umat Islam dan melindungi pelampau Yahudi yang sebahagiannya bersenjata.

Walaupun kita percayakan janji Allah dan Rasul-Nya bahawa kesombongan Yahudi akan menguburkan mereka dan mereka sedang menggali kuburnya, tetapi kewajipan kita di hadapan Allah wajib ditunaikan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 30 Syawal 1438H / 24 Julai 2017M