Home Artikel PAS Perlis

Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan – Ketua DUPNPs

1023
SHARE

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
;الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، وبعد

Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis berbesar hati ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan kepada muslimin dan muslimat sekalian.

Semoga kedatangan Ramadhan pada tahun ini akan memberi makna yang besar buat kita seterusnya memperolehi ganjaran ketaqwaan yang dijanjikan Allah SWT walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat serangan COVID-19 yang menyebabkan seluruh dunia menjadi lumpuh dan tergendala pelbagai urusan kehidupan, malahan ratusan ribu manusia telah mati kerananya, padahal ia virus yang tersangat halus tetapi menggerunkan manusia yang sebelum ini begitu angkuh dan sombong dengan kekuasaan dan kepakaran pelbagai teknologi.

Mari kita mengambil ingatan akan firman Allah dalam Surah Al Hadid ayat 22-23 yang bermaksud : Tidak ada sesuatu kesusahan (bala’) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah tersedia ada dalam suratan Allah (ilmu Allah) sebelum Kami menjadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati kerana apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu, dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada mereka yang sombong takbur lagi berbangga diri.

Walaupun Ramadhan tahun ini kita alami sedikit kesulitan tertentu namun kita tetap bersyukur dan bersabar kerana masih boleh menjalani ibadah puasa dan masih boleh melakukan pelbagai ibadah wajib dan sunat. Justeru, banyakkan beristighfar, tilawah Al Quran, qiamullail, bertahajjud, bersedekah dan lain-lain yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Semoga dengan ibadah dan ubudiah kita kepada, Allah akan menjadikan ianya suatu proses tarbiah bersifat rabbani seterusnya membina peribadi yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT sehinggalah kita semua dipanggil balik bertemu Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

.الله ولي التوفيق

USTAZ HAJI IDRIS YAACOB
Ketua
Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis
29 Syaa’ban 1441H / 23 April 2020