Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Setiap tahun pada tanggal 31 Julai, negara akan meraikan Hari Pahlawan bagi memperingati peranan dan jasa-jasa anggota pasukan keselamatan negara yang telah banyak berkorban demi menjaga keselamatan dan keamanan negara yang tercinta ini.
Secara simbolik, maksud pahlawan adalah orang yang gagah dan berani serta seorang perwira yang ditakuti. Oleh itu, Hari Pahlawan boleh diertikan dengan hari memperingati pahlawan yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.
Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara kepada bumi bertuah ini. Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.
Justeru, marilah kita menghargai setiap perit getir para perjuangan generasi terdahulu yang telah memberi kesejahteraan dan keamanan buat generasi kini. Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan mereka bersama para solihin.
Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2021 buat semua pejuang dan perwira negara terutamanya kepada barisan hadapan yang sibuk menjaga keamanan negara dari wabak pandemik Covid-19.
“Berjuang Demi Negara”
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor