Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Selamat Menjadi Tetamu Allah yang Diberkati

3185
SHARE

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
“Aku memenuhi panggilan-Mu Ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu
Aku memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku memenuhi panggilan-Mu
Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milik-Mu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagi-Mu”

Tanggal 14 Julai merupakan tarikh penerbangan pertama bagi Jemaah haji pada tahun 2018 yang telah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Madinah.

Setelah kita semua meraikan kemenangan Umat Islam pada bulan Syawal, sudah tiba masanya untuk kembali kepada fitrah seorang hamba, iaitu beribadah kepada Allah S.W.T bagi menunaikan rukun Islam yang ke-5.

Umat Islam seluruh dunia akan berkumpul di suatu tempat yang sama iaitu di Makkah Al-Mukarramah bagi melaksanakan tuntutan yang sama biarpun berbeza warna kulit dan bahasa.

Tahniah kami ucapkan kepada seluruh Jemaah haji yang telah mendapat panggilan haji pada tahun ini.

Tidak terlewat sekiranya pihak kami ingin mengucapkan ‘Selamat Berangkat’ dan ‘Selamat Menunaikan Ibadah Haji’ kepada semua Jemaah Haji terutama daripada Malaysia dan kepada seluruh dunia amnya.

Saya mewakili seluruh Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia sepenuh hati mendoakan agar semua Jemaah haji dapat melaksanakan ibadah ini dengan sebaiknya serta diberikan kekuatan dan kesihatan agar dapat memenuhi seluruh rukun Haji dan semoga Haji ini diterima oleh-Nya.

Berdasarkan kata-kata Al Hassan Al-Bashri,
“Haji mabrur adalah jika sekembali daripada haji menjadi orang yang zuhud dengan dunia dan merindukan akhirat”.

Di kesempatan ini juga, pihak kami berharap agar seluruh Jemaah haji agar menggunakan masa ini sebaiknya kerana peluang ini tidak mudah untuk diraih, jadi usah disia-siakan peluang yang ada ini begitu sahaja.

Kepada mereka yang masih belum diberikan peluang untuk menunaikan ibadah haji, mohonlah kepada Allah S.W.t dengan bersungguh-sungguh agar kita dimurahkan rezeki, diberikan umur dan kesempatan untuk akhirnya dapat menunaikan rukun Islam yang ke-5 ini.

Akhir kata dari kami, ‘Semoga Mendapat Haji yang Mabrur’ in sya Allah.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Julai 2018 bersamaan 4 Zulkaedah 1439