Home Artikel PAS Pahang

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM

194
SHARE

Sedang meriah berlangsung peperiksaan tertunda bagi SPM, STPM dan STAM. Kehangatan upacara akhir tahun masih dirasa walaupun tahun ni periksanya berada di awal-awal tahun.

Saya cuma ingin ucapkan kepada adik-adik SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN, disertakan dengan beberapa pesanan berdasarkan pengalaman saya sendiri. Walaupun ia mungkin telah berulang kali didengar, mungkin tulisan ni boleh menambah kefahaman semua.

  1. SPM, STPM, STAM bukan kemuncak kehidupan.

Waktu saya ambil SPM dulu, hari terakhir dirasakan sebagai hari merdeka, terlepas dari penjara persekolahan. Kononnya bebas sebebas-bebasnya. Rupanya tidak, ia cuma 1 fasa dalam kehidupan. Selepasnya banyak lagi tahap-tahap kehidupan yang lebih mencabar.

  1. Keputusan yang cemerlang tidak menjamin masa depan yang gemilang, begitu juga sebaliknya.

Pesanan ini bukan untuk melemahkan jiwa. Cuma untuk memberi faham yang periksa ini bukan jaminan apa-apa. Ia cuma 1 urusan bagi mengukur kefahaman pelajaran sahaja. Soal rezeki, ia sangat pelbagai. Tidak ada guna merendah-rendahkan yang gagal, dan tidak ada guna untuk merasa diri telah gagal seluruhnya kerana gagal kali ini. Periksa ni bukan jaminan.

  1. Dunia yang menunggu penuh dengan cabaran.

Tak perlu untuk bersaing dengan sesiapa dalam dunia ni, kerana takdir Allah sangat unik dan sukar difahami. Lakukan yang terbaik sebagai hamba, serahkan urusan ketentuan kepada Allah, dan perbaiki apa yang berada dalam kawalan kita. Jangan risau, setiap manusia ada bahagiannya didunia.

  1. Bukan mencari banyak tapi mencari berkat.

Dunia kini menuntut yang banyak, walaupun jelas yang banyak tidak menjamin kecukupan dan akhirnya melelahkan. Hidup ini sifatnya sangat mudah, kerana segala sesuatu didalamnya telah ditetapkan. Sampai masa, yang ditetapkan akan menjadi milik kita. Bertenang dan jangan membandingkan diri dengan orang lain.

  1. Jangan asingkan dunia dan akhirat.

Dunia tempat bekerja, akhirat tempat balasan. Jika kita mula memisahkan akhirat dari dunia, maka segala pekerjaan kita akan cenderung kepada kerosakan dan membawa kepada penyesalan yang amat besar.

  1. Kita ada akhirat.

Muhasabah diri, tentukan matlamat yang jelas, “APA PUN YANG TERJADI, AKU NAK SELAMAT DI AKHIRAT”. Matlamat ini menjamin keselamatan kita didunia. Jangan gadaikan akhirat kerana inginkan habuan dunia. Jangan hanya mengikut satu golongan hanya kerana mereka menawarkan dunia yang lebih baik tanpa ada timbangan baik buruk akhirat.

  1. Carilah ilmu yang bermanfaat .

Satu masa nanti, kita akan terasa betapa pentingnya hidup dengan ilmu. Betapa pentingnya adab lebih dari ilmu. Betapa pentingnya lapang lebih dari banyak. Pentingnya sahabat lebih dari pendapatan. Betapa pentingnya akhirat lebih dari dunia.

  1. Jauhkan diri dari kejahatan.

Masa kita sangat sedikit untuk dibazirkan dengan kejahatan, pergaduhan, percakaran. Hias kehidupan dengan kebaikan. Ia akan meninggalkan kenangan yang sangat indah, dan menghasilkan kebaikan diakhirat.

  1. Belajar dari pengalaman orang lain.

Bila orang dewasa bercakap melalui pengalaman, dengar dan cuba fahami. Pengalaman merupakan guru yang sangat baik. Mereka menghadamkan perkara itu bertahun lamanya, tetapi menyampaikan kepada kita dengan sepatah dua kata. Kata dua itu sangat mahal harganya.

  1. Semoga zaman adik-adik adalah zaman kejayaan.

Kita dikelilingi kegagalan dan kerosakan. Manusia hari ini lebih mementingkan perut dari hati. Sosial yang rosak, pentadbiran negara-negara yang zalim. Yang kuat menguasai, bukan membantu. Banyaknya talam 2 muka, 𝑠𝑒𝑙𝑓𝑖𝑠ℎ𝑛𝑒𝑠𝑠, jiwa kecil dan melupakan akhirat. Semoga zaman akan datang, perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

Selamat maju jaya kepada generasi muda. Kamu semua adalah pemimpin zaman kamu.

Aireroshairi Roslan
TKP DPPNP
22022021
1019 hrs.