Home Rencana PAS Selangor

Selamat kembali ke sekolah – Mudir SRITI Al-Mustaqim Gombak

328
SHARE

May be an image of 1 person and text

“SRITI Cemerlang” | Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Selangor

Oleh : Mohamad Kamarul Helmi Mohamad Nawawi
Mudir SRITI Al-Mustaqim Gombak

Ramai pihak lega apabila pengumuman pembukaan sekolah secara berperingkat dibuat pihak KPM baru-baru ini. Walaupun ada kebimbangan terutama dengan bilangan kes yang masih lagi tinggi, pengumuman yang lebih awal itu memberi ruang untuk semua pihak terutamanya pihak sekolah membuat persiapan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selamat Kembali ke sekolah diucapkan kepada semua murid khususnya murid SRITI Al-Mustaqim yang akan mula hadir semula ke sekolah bermula 1 November 2021 bagi Kumpulan A dan bermula 8 November 2021 bagi Kumpulan B.

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 diharapkan dapat meleraikan beberapa isu pendidikan yang membelenggu guru, pelajar dan ibu bapa sejak Covid-19 menular di negara ini pada awal tahun lepas.

Selain menangani isu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang penuh dengan pelbagai ragam dan kisah, pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka dilihat dapat membantu mengurangkan kelesuan dan kehilangan motivasi pelajar yang kini pada tahap membimbangkan.

Meskipun terdapat kekhuatiran dalam kalangan ibu bapa berikutan kes jangkitan yang masih lagi tinggi selain vaksinasi ke atas pelajar belum menyeluruh, pihak SRITI akan berusaha sehabis baik menyediakan sekolah agar menjadi tempat yang selamat kepada anak-anak bagi memastikan sistem pendidikan terus berjalan lancar.

Harapan pihak SRITI agar semua pihak terus mematuhi garis panduan dan SOP yang telah digariskan dalam usaha kita bersama untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini khususnya di SRITI Al-Mustaqim. Kepada Allah S.W.T jualah kita meletakkan pengharapan. Semoga segala urusan persediaan kembali ke sekolah berjalan dengan lancar.

Jazakallahu Khairan Kathira

31 Oktober 2021 | 24 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor