Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Selamat Hari Pekerja 2017

1681
SHARE

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja 2017 kepada semua pekerja di seantero dunia khususnya di Malaysia. Setinggi penghargaan buat semua pekerja yang membanting tulang bekerja dengan penuh dedikasi untuk menyara kehidupan seharian dalam sektor masing-masing.

Sesungguhnya di antara dosa-dosa itu, ada yang tidak dapat terhapus dengan puasa dan solat. Maka para sahabat pun bertanya: “Apakah yang dapat menghapusnya, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Bersusah payah dalam mencari nafkah.” [HR. Bukhari]

Manusia dituntut untuk berusaha dan bekerja keras serta beramal soleh di dunia tetapi tidak meninggalkan kewajipan beribadah kepada Allah. Selain itu, setiap pekerja juga perlu berfikiran lebih kreatif dan inovatif dalam membangunkan negara seiring dengan syariat Islam supaya izzah Islam dalam ditonjolkan.

Carilah rezeki itu disisi Allah, sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya [Q:S. Al-Ankabut:17]

Statistik kesatuan sekerja pada tahun 2016 menunjukkan pertumbuhan dalam sektor kerajaan meningkat kepada 471,751 orang berbanding tahun sebelumnya seramai 464,727 orang. Jumlah tersebut masih mempunyai bilangan yang tinggi berbanding pekerjaan dalam sektor swasta sebanyak 376,362 orang. Ini tidak bermakna rakyat boleh bersenang dengan keadaan ini memandangkan negara kita pernah mengalami penyusutan dalam sektor kerajaan pada tahun 2015.

Dengan peningkatan pelbagai kos sara hidup, percukaian GST yang membebankan, ketidakupayaan memiliki hak keperluan asas seperti rumah dan pengangkutan, memerlukan para pekerja bersikap lebih kreatif dalam bidang masing-masing memandangkan ia mampu memberi nilai tambah kepada individu malahan ia dapat membantu perkembangan ekonomi negara.

Teruskan bekerja dengan penuh amanah dan mengikut syariat tidak kira pada posisi mana sama ada dalam bidang pentadbiran, anggota keselamatan, kesukarelawanan, pendidik dan perkhidmatan. Sikap jujur dan integriti perlu diterapkan dalam setiap gerak kerja supaya kita mendapat keberkatan dari Allah. Bekerjalah dengan bersendikan sifat ubudiyah, mas’uliyah dan itqan dalam kerja kerana warga pekerja adalah nadi pembangunan dan kejayaan negara.

“Pekerja Kreatif, Pencetus Inovasi”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
04 Syaaban 1438H
01 Mei 2017

 

{jathumbnail off}