Selamat Berkhidmat untuk Malaysia!
11 Mac 2020 merupakan tarikh rasmi wakil tunggal Muslimat PAS dalam Kabinet Kerajaan, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff melangkah masuk ke Pejabat Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. Ketibaan pertama disambut penuh mesra oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Junaidah Kamaruddin beserta Ketua-ketua Pengarah Agensi dan seluruh warga kerja Pejabat.
Sesungguhnya jawatan bukanlah suatu penghormatan untuk menaikkan nama dan diri kita masing-masing. Malah ianya lebih daripada itu, disertai dengan amanah dan tanggungjawab yang suatu hari nanti akan dipersoalkan sama ada telah dilaksanakan dengan sebaiknya atau hanya sambil lewa.
Kami seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan tahniah atas pelantikan ini sebagai suatu penghargaan khusus buat Muslimat PAS dalam usaha untuk memartabatkan suara wanita dan mengangkat isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal wanita dan keluarga termasuk golongan-golongan rentan yang lain.
Di kesempatan ini juga, kami menyeru seluruh Muslimat PAS yang mempunyai kemahiran dan pakar dalam bidang yang berkaitan untuk sama-sama memberikan sumbang-saran dan buah fikir untuk membangunkan Kementerian ini.
Selain itu, secara khususnya, kami menyeru dengan bersungguh-sungguh agar Muslimat PAS dapat beriltizam dengan Solat Hajat dan Munajat mendoakan seluruh kepimpinan PAS terutamanya yang memegang portfolio masing-masing serta seluruh Kabinet Menteri Malaysia umumnya agar dapat menjalankan amanah dengan penuh komited seterusnya mentadbir Malaysia agar terbilang dan gemilang.
Sekali lagi “Selamat Berkhidmat” buat YB Dato’ Kak Lah. Semoga setiap langkah diiringi oleh pimpinan dan taufiq dari Allah SWT, dikurniakan kekuatan dan ketenangan dalam menjalankan amanah di pundak.
#Islam memimpin , wanita sejahtera.
YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Mac 2020
17 Rejab 1441H