Home Artikel PAS Wilayah

Debat Piala Tun Razak : Kpm Perlu Pantau Agenda Halus Liberalisasi Pendidikan Negara

705
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMA’ PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

DEBAT PIALA TUN RAZAK : KPM PERLU PANTAU AGENDA HALUS LIBERALISASI PENDIDIKAN NEGARA

1. Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) memandang serius penganjuran debat Piala Tun Razak yang menimbulkan kontroversi dan polemik di kalangan rakyat kerana dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam. DUPWP berpandangan penganjur debat tersebut tidak prihatin terhadap sensitiviti umat Islam sehingga sanggup memilih tajuk yang begitu kontroversi sebagai tajuk debat, seakan-akan ia sebagai bahan gurauan dalam masyarakat.

2. Tajuk yang dipilih dalam debat tersebut berkaitan dengan penulisan semula Al-Quran (republish a new version of Quran) selain berkenaan usul homoseksual bukan suatu dosa dalam Islam adalah tajuk berat untuk dibincangkan terutama di kalangan pelajar sekolah. Ia berkaitan dengan akidah umat Islam, hukum hakam dan halal haram. Ia terkeluar daripada kelayakan perdebatan kerana asas debat adalah ada pihak yang menyokong dan ada pihak pula yang menentang. Apakah penganjur berniat agar isu seperti homoseksual itu menjadi perbincangan terbuka dalam masyarakat sehingga nanti ada pihak yang menganggap amalan homoseksual boleh diterima dan positif dalam masyarakat di negara ini? Apakah mereka mahu masyarakat mempertikaikan keaslian al Quran dan meragui kandungan Al Quran yang sedia ada?

3. Siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati ketua juri sebagai pemilih usul perdebatan tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan daripada Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) berkenaan tajuk debat tersebut. SDAR juga turut memaklumkan bahawa panduan prosedur operasi standard (SOP) perdebatan telah diperjelaskan kepada ketua juri supaya tajuk debat yang dipilih tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan budaya setempat sehingga boleh menggugat keselamatan negara.

4. Dalam hal ini, terdapat unsur kesengajaan daripada pihak penganjur agar mereka bebas menentukan tajuk dan halataju perdebatan. Niat mereka wajar dipersoalkan seperti mempunyai agenda halus indontrinasi masyarakat dengan pelbagai ajaran yang menyeleweng daripada Islam. KPM tidak boleh berdiam diri membiarkan institusi pendidikan dicemari oleh segelintir pihak yang berkepentingan mahu meracuni pemikiran pelajar dengan ajaran liberalism. Andai tiada bantahan daripada peserta dibuat serta isu ini diketengahkan, dibimbangi jarum halus ini disuntiuk dan disemai dalam sistem pendidikan sekolah yang membentuk pemikiran pelajar-pelajar sekolah.

5. Oleh itu, DUPWP mendesak siasatan terperinci serta hukuman setimpal dikenakan terhadap penganjur sebagai pengajaran supaya tidak ada mana-mana pihak berani membangkitkan sensitiviti umat Islam di masa hadapan. Kami juga ingin memperingatkan sesiapa sahaja agar menghormati kebebasan memberi pandangan, mengkritik, menganjurkan aktiviti dan mengamalkan ajaran agama masing-masing namun jangan sampai melanggar batasan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia selain menjaga syariat Islam. Hormati keharmonian dan perpaduan kaum serta agama Islam di negara mengikut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan jangan sesekali terikut dengan agenda liberalisma, pluralisma, sekularisma, sosialisma dan lain-lain yang menyeleweng daripada akidah Islam.

HJ MD ALI BIN JAMIL
Ketua Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan

Khamis | 17 Oktober 2019 | 18 Safar 2019