Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Sekalung Doa dan Salam Sejahtera Kepada Rakan-rakan Yang Memberi Komen Terhadap Ucapan Saya di Parlimen Baru-baru Ini.

13038
SHARE

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

SEKALUNG DOA DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA RAKAN-RAKAN YANG MEMBERI KOMEN TERHADAP UCAPAN SAYA DI PARLIMEN BARU-BARU INI

Pertamanya, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang membuat komen yang membina dengan fakta yang kukuh terhadap kenyataan saya tempoh hari walaupun terdapat perkara-perkara tertentu yang perlu diperhalusi seperti perbezaan antara agama dengan kepercayaan ritual secara fakta yang ilmiah. Di sana terdapat ulasan para ilmuwan dan sarjana dalam pengajian ilmu-ilmu Islam serta Perbandingan Agama.

Apa pun saya sangat berterima kasih kepada rakan-rakan saya yang sangat mendalam keilmuannya dalam bidang Perbandingan Agama yang pastinya ilmu ini perlu dipelajari oleh semua kaum dan semua penganut agama di Malaysia.

Ilmu pengetahuan dan kefahaman yang jitu akan melahirkan masyarakat yang benar-benar mampu menyatukan kaum dan menjaga keharmonian agama serta memelihara sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Jutaan terima kasih kepada sahabat lama saya iaitu Dato Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dan tokoh pendakwah muda, Saudara Firdaus Wong yang telah mengharmornikan suasana dan sememangnya itulah hasrat saya.

Saya sangat berdukacita apabila ianya dijadikan isu politik murahan dan sekali gus menggadaikan prinsip-prinsip agama yang harmoni.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada para penganut agama Kristian yang menyokong saya termasuk yang mengkritik saya. Saya harap semua ini akan memberi dorongan untuk kita semua membaca dan memahami fakta-fakta sejarah mengenai kedudukan agama-agama yang ada di Malaysia.

Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Tan Sri Joseph Pairin yang sudi untuk berdialog secara harmoni dengan saya dan pastinya saya bersedia untuk mencari keharmonian dan kebaikan untuk semua. Saya tidak akan mencari kekeruhan dalam sesi dialog ini. Sehingga kini, saya masih belum berpeluang untuk menghubungi beliau.

Saya kagum dengan sikap positif seperti ini yang pastinya mampu membina penyatuan serta memacu keharmonian dalam negara tercinta ini.

Dalam masa yang sama, saya berasa sedih apabila terdapat tokoh politik seperti YB Port Dickson yang jelas tidak bersikap jujur dalam mengkritik secara melulu tanpa merujuk kepada saya sendiri. Bacaan saya terhadap kritikan beliau tersebut tidak lain hanyalah mahu menangguk di air yang keruh untuk kepentingan politik bersempena Pilihan Raya Negeri Sabah.

Pada awalnya, saya sangat bersangka baik terhadap beliau. Namun setelah membaca tulisannya, saya hilang rasa yakin terhadap kredibiliti, moraliti dan karisma politiknya.

Seorang ahli politik lama yang diheret ke zaman yang serba canggih, terbuka dan pasca moden ini memerlukan kepada agenda politik yang berpaksikan kepada dasar dan matlamat perjuangan yang jelas, bukan lagi kepada agenda sempit cita-cita peribadi untuk menjadi PM semata-mata.

YB DS Anwar Ibrahim tersasar jauh apabila berhujah menggunakan separuh ayat al-Quran dan bukan satu ayat yang sempurna menyebabkan maksud asalnya sudah tersasar. Nasihat saya, rujuklah kepada para alim ulamak terlebih dahulu sebelum berhujah dengan nas-nas al-Quran. Ini kerana setiap bidang ada pakarnya.

Rakyat sudah muak dengan cara lama ahli-ahli politik yang hanya melihat kumpulannya sahaja yang betul dan kumpulan lain semuanya salah. Saya berharap YB DS Anwar Ibrahim mengubah sikap dengan menegur dan membetulkan segala bentuk kesalahan walaupun datang dari kawan atau lawan. Saya tertanya-tanya di manakah suara YB DS Anwar Ibrahim sewaktu mantan Menteri Perpaduan mengancam perpaduan kaum dan keselamatan Negara? Di mana pendirian beliau ketika DAP mengancam hak orang-orang Melayu dan Islam?

Sekiranya beliau ingin berbicara tentang perpaduan, saya berharap beliau bermuhasabah terlebih dahulu dan bebaskan diri dari bersikap ego dan buktikan sikap terbuka serta terbuka untuk ditegur. Saya berasa sangsi kepada beliau yang sanggup memecat rakan-rakan seperjuangan yang pernah berjasa kepadanya semata-mata kerana tidak sependapat dalam satu parti politik.

Inilah wajah sebenar YB DS Anwar Ibrahim yang tidak mampu menjaga perpaduan walaupun dalam kumpulan yang kecil iaitu partinya sendiri.

Bagaimanakah beliau mampu menyatukan pelbagai kaum di peringkat nasional? Dimanakah konsep dan dasar perpaduan yang ingin beliau galas dalam skop yang luas?. Saya yakin rakyat Malaysia bijak untuk menilai semua ini.

Akhirnya, sekali lagi saya mengharapkan agar isu ini tidak dikaitkan dengan agenda politik oleh mana-mana pihak dan saya menyeru kepada semua pihak untuk menjaga keamanan dan perpaduan dalam negara tercinta ini.

Ikhlas dari,

YB DR HJ NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN HJ. SALLEH
AHLI PARLIMEN PASIR PUTEH.

10 SEPTEMBER 2020.