Home Fastaqim

Sejarah Bagi Jabatan Amal Malaysia

4338
SHARE

 

FASTAQIM 2.0 : SEJARAH BAGI JABATAN AMAL MALAYSIA

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t. dengan limpah dan rahmatnya Fastaqim 2.0 telah berjalan dengan baik dan lancar.

Pada himpunan Fastaqim 2.0 ini, Jabatan Amal Malaysia telah diamanahkan dengan tugasan menyelia trafik dan parkir. Tugas ini telah kita sambut dan dengan perancangan yang teliti sejak berbulan sebelum himpunan telah menghasilkan hasil yang amat baik.

Walaupun Jabatan Amal Malaysia diamanahkan untuk menguruskan Trafik dan Parkir bagi himpunan ini, namun Kor Medik Jabatan Amal Malaysia tetap berkhidmat dengan menguruskan post medik, termasuk klinik medan bagi merawat pengunjung yang mempunyai masalah kesihatan. Kor Medik juga turut bersiap sedia dengan empat buah ambulans bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Komunikasi bagi perhubungan antara anggota di lapangan seramai seribu orang dengan pusat kawalan Jabatatan Amal Malaysia (Amal Command Centre – ACC) telah siap beroperasi pada hari khamis, sehari sebelum himpunan. Kor Semboyan telah beroperasi dengan baik bagi memastikan semua arahan sampai ke setiap anggota di lapangan.

Himpunan kali ini yang berlangsung di tepi pantai telah menyaksikan Kor Marin menjalankan tugas memantau keselamatan pengunjung yang bersantai di tepi gigi air. Aset Kor Marin seperti bot dan jet ski senantiasa meronda sepanjang pantai bagi bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Pantai Tok Jembal, tempat berlangsungnya Fastaqim 2.0 ini adalah tempat kelahiran Unit Amal 26 tahun dahulu yang kini dikenali sebagai Jabatan Amal Malaysia sekali lagi menjadi saksi apabila Skuad Sukarelawan Amal yang mana keahliannya dibuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan jantina telah disempurnakan pelancarannya oleh Tuan Guru Presiden PAS pada malam kemuncak himpunan ini dihadapan ratusan ribu orang pengunjung.

Saya merasa amat bangga dan terharu dengan pengorbanan semua anggota dan pegawai Jabatan Amal Malaysia yang telah berkhidmat selama 72 jam tanpa henti bermula sehari sebelum himpunan sehinggalah jam 5.00 pagi hari ahad. Mereka telah datang dari seluruh pelusuk negara, mengorbankan masa, wang ringgit, tenaga, bersengkang mata, menahan panas dan dahaga, bertugas dibawah terik matahari, dalam hujan dan ribut, siang dan malam. Inilah anggota Jabatan Amal Malaysia, berkorban segala yang ada demi perjuangan ini, sesuai dengan motto ‘Beramal Kerana Allah’.

Tiada ucapan terima kasih mahupun wang ringgit yang dapat menggantikan segala pengorbanan anda. Namun penghargaan tertinggi harus saya sampaikan kepada Jabatan Amal Malaysia negeri Terengganu yang telah bertungkus lumus berhempas pulas berbulan lamanya bagi memastikan kelancaran operasi Jabatan Amal Malaysia di himpunan ini. Terima kasih kepada Tuan Sauji dan ‘awok awok iter’ yang telah berkampung di Pantai Tok Jembal sejak seminggu lalu.

Semoga segala jasa dan pengorbanan setiap anggota Jabatan Amal Malaysia akan dihitung oleh Allah s.w.t. sebagai amalan baik yang akan dapat ditebus di mahsyar nanti.

BERAMAL KERANA ALLAH

Mohd Nazree Mohd Aris
Ketua Pengarah
Jabatan Amal Malaysia