22 Jun 2017, Kota Belud Sabah : Bermula dari 1 Jun 2017, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah pun melancarkan kutipan infaq melalui sebaran poster “Tabung Adik Khadijah”. Sehubungan dengan itu, Alhamdulillah usaha tersebut walaupun nampak kecil, namun ianya dilaksanakan dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh demi untuk kesembuhan adik Siti Khadijah binti Aminuddin yang berusia 8 tahun, yang menghidapi sakit tulang belakang yang membengkok 70 darjah dan tengkorak kepala terturun (Scoliosis and chairi malformation).
Bukan sahaja di peringkat pusat, malah juga pihak LKK DMPN Sabah juga banyak memainkan peranan dan memandang serius ke atas usaha membantu adik Siti Khadijah. Baru-baru ini, Ketua DMPN Sabah, Puan Norsah bongsu bersama rombongan LKK DMPNS serta DMP Kota Belud telah mengadakan beberapa siri ziarah di kediaman adik Khadijah di Kota Belud.
Menurut Puan Norsah Bongsu, pihak DMPNS dan juga LKK DMPNS mengadakan ziarah dan sentiasa memantau keadaan adik Khadijah secara berkala. Selain itu juga, dalam ziarah tersebut, sumbangan orang ramai melalui DMPM telah disampaikan kpd adik Khadijah melalui Ketua Muslimat DMPN Sabah. Pihak LKK DMPM dengan rasa rendah hati mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menyumbang ke “Tabung Adik Khadijah”.
Adik Siti Khadijah pada asalnya dijadualkan akan menjalankan pembedahan pertama pada 13 Jun 2017, tetapi tarikhnya telah ditunda dan dijadualkan akan dijalankan pada 24 Jun ini, in shaa Allah dan menurut Doktor beliau akan menjalani pembedahan susulan setiap 6 bulan. Adik Siti Khadijah akan menjalani 10 pembedahan sehingga umurnya mencecah 12 tahun. Maka dengan itu, kos pembiayaan pembedahan beliau amat tinggi, dianggarkan mencecah RM23,000.00.
Namun demikian, pihak LKK DMPM dan juga DMPNS masih belum berputus asa dan tidak berhenti di sini sahaja dan masih terus mengharapkan sumbangan dari orang ramai bagi membantu menampung kos pembedahan Adik Khadijah. Menurut Puan Norsah Bongsu katanya, ” Kita mohon kepada masyarakat yang prihatin di luar sana agar sama-sama membantu meringankan beban keluarga adik Siti Khadijah ini dengan menyalurkan sumbangan dana dan turut mendoakan agar adik Siti Khadijah diberikan kesembuhan dan diberi kekuatan untuk menghadapi ujian Allah SWT.”
Maka dengan itu,sepertimana yang dikatakan oleh Puan Norsah, LKK DMPM juga menyeru agar kutipan “Tabung Adik Khadijah” diteruskan dan semoga mendapat sambutan baik dari orang ramai yang sama-sama prihatin.
Sekali lagi, LKK DMPM ingin mengajak Tuan Puan yang dermawan untuk terus menyalurkan sumbangan “Tabung Adik Khadijah” ke akaun:
Dewan Muslimat PAS Pusat
MAYBANK : 5640 2540 0711
SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada:
Dr. ‘Uyun : 019 – 357 7502
Puan Zurina : 014 – 306 9141
Saudari Zuriati : 019 – 204 9434
Saudari Oyeen : 019 – 590 2381
Semoga ianya menjadi saham terbesar kita di akhirat kelak dan marilah kita semua bersama-sama mendoakan agar semua urusan adik Khadijah dipermudahkan dan sentiasa dalam peliharaan Allah SWT.. Jazakumullah khairan katheera
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
{jathumbnail off}