Oleh: Abu Muhammad
PARIT, 18 Jun – Sungai adalah anugerah Tuhan yang sangat bermakna dan bermanfaat buat seluruh kehidupan makhluk di dunia ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata sedemikian ketika merasmikan Program Gelombang Hijau Bersihkan Sungai di terowong sungai Titi Gantung, Bota, pagi tadi.
“Menjaga kebersihan sungai adalah tanggungjawab segenap lapisan masyarakat kerana sungai yang tercemar boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan semua,” katanya lagi.
Program yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit ini telah mendapat kerjasama dengan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Parit dan juga penduduk setempat.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Parit, Hanif Musa berkata program hari ini merupakan inisiatif pihak Lajnah Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Kesihatan (LTASTHK) Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
“Inisiatif ini telah dilaksanakan secara serentak di 24 lokasi kawasan sungai seluruh Negeri Perak bermula hari ini dan esok.
Kami memilih kawasan Terowong Sungai Titi Gantong ini untuk dibersihkan dan menceriakan adalah kerana kawasan ini menjadi tempat laluan utama masyarakat setempat tanpa perlu membuat pusingan jauh menggunakan jalan utama,” tambahnya lagi.
Menurutnya, DPPK Parit berazam untuk terus mengajak masyarakat bersama dalam program yang memberi kesedaran untuk menjaga keindahan alam semula jadi.