Home Berita PAS Perak

Satu kehilangan besar buat PAS Bukit Gantang – Idris

325
SHARE

Oleh Jaudin M Amin

7 JUN,BUKIT GANTANG : Pemergian Perunding SkimPAS (PSK) Terbaik Kebangsaan, Jamaluddin Othman, 65 merupakan satu kehilangan besar kepada PAS Kawasan Bukit Gantang serta PAS amnya dan sukar dicari ganti.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Haji Ahmad menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat komited dengan amanah yang dipikulnya dan layak menerima Anugerah Perunding SkimPAS Terbaik selama dua tahun berturut-turut.

“Beliau seorang yang berperwatakan lembut, murah dengan senyuman dan cukup dihormati oleh penduduk setempat. Selain aktif di dalam PAS, Allahyarham sering terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau merupakan Imam dan Timbalan Pengerusi Surau Al-Ershad Taman Kaya Fasa 2 serta bertugas sebagai Penolong Penguatkuasa Sukarela Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK).

“Mantan kakitangan Telekom Malaysia itu gigih melaksanakan tugasnya sebagai PSK di peringkat Kawasan dan Ahli Jawatankuasa PSK Negeri Perak. Semoga segala amalnya dikira sebagai amalan soleh dan ruhnya dihimpunkan bersama syuhada dan solehin”.

Pada 25 Mei yang lalu, Allahyarham Jamaluddin telah dimasukkan ke Hospital Taiping kerana positif Covid-19. Empat hari kemudian, Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menggunakan alat bantuan pernafasan ventilator. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 1.40 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Aur, dekat sini. Isterinya, Zulina Mohamed turut dijangkiti virus berkenaan dan masih lagi menerima rawatan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman menzahirkan rasa sedih di atas kematian Allahyarham yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.

Katanya, “PAS Kawasan kehilangan insan yang banyak jasanya dan besar pengorbanannya di dalam perjuangan Islam di Bukit Gantang.

Allahyarham Jamaluddin adalah suri tauladan baitul dakwah wal harakah. Beliau telah melibatkan diri dengan kerja jihad dan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar, jihad pendidikan dan pilihanraya.

Jasa beliau di segala lapangan segar dalam ingatan.

“Beliau istiqomah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan, PSK SkimPAS, Timbalan Pengarah 3 Jatan Pilihanraya PAS Kawasan, Timbalan Pengarah 3 JPrD N14 Changkat Jering, Ketua PAS Cawangan Taman Kaya dan Pengerusi PASTI Al-Mustaqim Taman Kaya.

“Kami telah menyeru ahli-ahli PAS Kawasan agar mengadakan solat hajat di rumah masing-masing bagi mendoakan kesejahteraan pasangan ini. Namun Allah lebih mengasihi Allahyarham untuk berehat di alam barzakh sebelum berhijrah ke syurga yang kekal abadi.

PAS Kawasan Bukit Gantang mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau”.

Sementara itu, pihak SkimPAS Pusat mengucapkan takziah kepada Allahyarham Jamaluddin dan menyifatkannya sebagai PSK yang sangat komited dengan tugas dan telah menjadi PSK terbaik selama 2 tahun berturut-turut.

Dalam hantaran di akaun Facebook rasmi petang semalam, pihak SkimPAS mendoakan agar segala kesungguhan dan kerja buat Allahyarham sepanjang menjadi ahli PAS khususnya sebagai PSK Bukit Gantang mendapat ganjaran sebaiknya oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya kematian itu satu peringatan buat kita yang masih hidup, menjadi motivasi dan dorongan untuk kita sentiasa memperbaiki amalan dari sehari ke sehari hinggalah akhirnya saat kita ‘pulang’ dijemput Allah SWT.