Home Berita PAS Pahang

Sambutan Hari Guru 2023 Sektor Pendidikan DPPNP berlangsung meriah

149
SHARE

Oleh KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 22 Mei ♦ Sambutan Hari Guru 2023 anjuran Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) yang diadakan di Dewan Atabara, Indera Mahkota semalam telah berlangsung dengan begitu meriah apabila dihadiri lebih 700 orang guru dari seluruh negeri Pahang.

Bertemakan ‘Guru Mithali Pemangkin Generasi Rabbani’, sambutan Hari Guru itu menggabungkan empat institusi pendidikan di bawah seliaan DPPNP iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) dan Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS).

Majlis telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Di dalam ucapannya beliau telah menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran ramai guru dari setiap pelosok Negeri Pahang bagi memeriahkan majlis itu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur turut menyingkap sejarah kesusahan orang lama dan para pendidik PASTI terdahulu yang telah bersusah-payah merintis jalan menyampaikan ilmu biarpun dalam keadaan serba kekurangan termasuk premis yang daif.

“Tidak pernah langsung terbayangkan oleh saya pada masa itu yang satu hari nanti kita akan jadi sebegini ramai kini mencecah hampir 1,000 orang guru di seluruh negeri Pahang.

“Kehadiran guru-guru yang ramai ini secara tidak langsung membuktikan komitmen dan kesungguhan sektor pendidikan  dalam melahirkan generasi Islam di dalam perjuangan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian beberapa  anugerah sempena Hari Guru Sektor Pendidikan DPPNP 2023.

Tokoh Guru PASTI Negeri Pahang 2023 telah dianugerahkan kepada Siti Ayuni Yahaya dari PASTI Al-Mukmin, Paya Besar.

Anugerah Guru Istiqamah PASTI Negeri Pahang 2023 disandang oleh Zainun Ismail dari PASTI Az-Zahrah, Tanah Putih, Kuantan yang telah berkhidmat selama 26 tahun sejak tahun 1997.

Sementara Norliza Abd Wahab dari PASTI Al-Ikhwan, Bentong telah dinobatkan sebagai penyandang bagi Anugerah Inovatif PASTI Negeri Pahang 2023.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu, Ketua Pemuda DPPNP Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih al Hafiz serta Pengarah PASTI Negeri Pahang Mohd Khairul Nizam Che Mustofai.