Home Berita PAS Pahang

Generasi Rabbani penyelamat umat, mengangkat Islam kembali ke takhta kegemilangan

137
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 23 Mei ♦ Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP), Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz berkata, hanya generasi Rabbani mampu diharap menyelamat serta mengembalikan Islam ke takhta kegemilangan setelah sekian lama ia mengalami keruntuhan.

Menurutnya, generasi ini tidak hanya menjadi penyokong kepada Harakah Islam, tetapi juga adalah pendokong dan tonggak kepada kekuatan Islam.

Ia sejajar dengan model unggul generasi Rabbani para sahabat yang dididik dan ditarbiah oleh Rasulullah SAW dan menjadi qudwah hasanah kepada seluruh umat Islam.

“Mithali berkait dengan seseorang yang boleh dijadikan contoh atau diteladani sementara kalimah Rabbani (الرباني) bersandar kepada kalimah Rabb (الرب) yang bermaksud Tuhan.

“Generasi Rabbani adalah generasi Muslim sejati yang beramal dengan Islam dan bekerja untuk menegakkan Islam,” jelas beliau ketika mengulas isi daripada petikan risalah bertajuk “إحياء الربانية” (Menghidup kembali generasi Rabbani) karangan Syeikh Said Hawwa.

Katanya, di dalam risalah kecil itu tokoh ulama dan pendakwah islam tersohor itu menyebut bahawa seseorang insan Muslim hari ini tidak akan berjaya untuk menjadi seorang insan Rabbani kecuali memiliki ilmu Islam yang mantap, kematangan rohani, penghayatan akhlak Islam serta mempunyai kefahaman harakah dan organisasi yang bertepatan dengan tuntutan amal Islami semasa.

Beliau berkata demikian di dalam ucapan alu-aluan sempena Sambutan Hari Guru Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang 2023 yang berlangsung kelmarin bertempat di Dewan Atabara, Indera Mahkota dengan tema ‘Guru Mithali Pemangkin Generasi Rabbani’.

Beliau juga turut menurunkan data terkini berkaitan Sektor Pendidikan DPPNP, antaranya telah berjaya mewujudkan sebanyak 203 buah cawangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dengan 759 orang guru, 117 orang pembantu guru dan jumlah pelajar seramai 9864 orang.

Manakala Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) memiliki pelajar seramai 1804 orang dengan jumlah guru seramai 202 orang.

Disusuli Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), 4 orang guru dan 9 orang murid serta Maahad Tahfiz al Istiqamah (MTIS) memiliki seramai 68 orang pelajar, 15 orang guru dengan dua orang staf.

Sambutan Hari Guru anjuran DPPNP buat kali kedua itu menggabungkan empat institusi pendidikan di bawah seliaan DPPNP iaitu MTIS, SMITI, SRITI dan PASTI Negeri Pahang dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.