Salam Nuzul Al-Quran 1441H
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah
(Surah Al-Baqarah : 185)
Tanggal 17 Ramadhan pada tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad SAW, telah turun wahyu pertama yang menjadi bukti kerasulan Baginda.
Al-Quran Al-Adzhim bukan sahaja diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat terbesar Baginda, bahkan mengandungi panduan hidup yang merangkumi bidang politik, sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain untuk kegunaan umat manusia di sepanjang zaman.
Justeru sebagai umat Islam, amatlah penting untuk kita menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan tertinggi dalam mengharungi kehidupan kita.
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia khususnya untuk mengenang Hari Nuzul Quran yang jatuh pada 17 Ramadhan setiap tahun dengan mengambil iktibar dari peristiwa penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW ini.
Marilah kita merebut kesempatan yang ada dalam bulan Ramadhan semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan menyuburkan dan memperhebatkan lagi penghayatan kita terhadap kitab Allah SWT.
Anjurkan aktiviti bertadarus bersama ahli keluarga bagi menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang memperbanyakkan membaca Al-Quran di bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain.
Semoga kita semua layak mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak. Amin.
YB Senator Ustazah Hajah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
16 Ramadhan 1441H
9 Mei 2020M