Home Minda Presiden

Salah faham terhadap Islam

594
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 87 / 2023]
SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM


Setelah gagal menghalang kemaraan Islam melalui propaganda Islamofobia, kalangan musuh Islam menukar pendekatan mereka dengan menimbulkan syubuhat (salah faham) dan tasykik (keraguan) terhadap Islam.

Inilah sebahagian daripada hikmah yang tersirat daripada Surah al-Nas, surah terakhir mengikut penyusunan al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

﴿قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ٢ إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ٣ مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ٤ ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ٦﴾

“Katakanlah, ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.’ (1) ‘Raja manusia.’ (2) ‘Sembahan manusia.’ (3) ‘Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi.’ (4) ‘Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.’ (5) ‘Daripada (golongan) jin dan manusia.’ (6)” [Surah al-Nas: 1–6]

Islamofobia pula mencetuskan perasaan ingin tahu yang menjadi sebahagian daripada perangai manusia yang berakal mengikut ciri fitrahnya (sifat tabiinya). Mereka ingin mengetahui, mencari kebenaran atau secara spontan, lalu membaca terjemahan al-Quran sama ada secara jujur mahupun tidak, dan tambahannya melalui penulisan berkenaan Islam secara ilmiahnya yang sebenar.

Keadaan ini menyebabkan cahaya Islam berjaya menembusi negara penjajah dan rumah-rumah musuhnya sehingga Islam masuk ke dalam hati. Ada yang memeluk Islam atau memberanikan diri membuat kenyataan terbuka yang positif berkenaan Islam, sama ada secara kefahaman yang betul ataupun salah. Namun, perkara ini sudah cukup membuka pintu ke arah Islam secara ilmunya.

Kini, musuh Islam berusaha mewujudkan naratif yang salah bagi mencetuskan kefahaman yang sesat daripada ajaran Islam yang sebenar atau keraguan terhadapnya. Allah SWT memberikan peringatan mengenai berlakunya hal ini melalui firman-Nya:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya (yang sebenar). Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Rasulullah SAW mentafsirkan ayat ini di hadapan para sahabatnya dan menjadi pengajaran kepada umatnya pada sepanjang zaman supaya berwaspada, selepas melakarkan di atas tanah suatu garis yang lurus lalu Baginda bersabda:

هَذَا ‌سَبِيلُ ‌اللهِ مُسْتَقِيمًا.

“(Garisan yang lurus) ini ialah jalan Allah (Islam sebagai satu-satunya) yang lurus (benar).”

ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ، وَشِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: “هَذِهِ السُّبُلُ، لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.”

Kemudian, Baginda melakarkan cabang-cabang yang banyak di kanan dan kiri garisan lurus itu sambil bersabda, “Ini ialah cabang-cabangnya. Tiada satu pun di setiap cabang ini melainkan ada syaitan yang menggoda (cabang-cabang ini adalah kesesatan).” [Al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, No. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 4437, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi Ahmad]

Perjalanan kehidupan manusia yang berubah dan perlunya kepada perubahan, malangnya terdapat kemunculan istilah ciptaan manusia yang tidak menepati bahasa al-Quran, mukjizat Ilmu Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Kini, muncul perkataan-perkataan mengikut istilah bahasa Barat seperti reformasi, ortodoks, progresif, konservatif, liberal, dan lain-lain. Kesemua istilah ini tidak boleh disamakan dengan istilah bahasa al-Quran seperti perkataan islah, tajdid, ijtihad, dan lain-lain.

Hal ini demikian kerana, adanya perbezaan dasar, konsep, dan beberapa perkara lain yang boleh terkeluar daripada konsep istiqamah. Misalnya, terjemahan perkataan ‘jihad’ kepada ‘holy war’ yang membawa penyelewengan daripada makna jihad yang sebenar.

Perkataan ciptaan manusia itu memisahkan agama dan akhlak yang mulia daripada kehidupan manusia. Maka, tindakan ini boleh jadi menipu.

Jika ada kebetulannya pun, maka ia penuh dengan kelemahan manusia yang boleh mengheret kepada terpesongnya daripada agama Allah yang menjadi amalan Ahli Kitab dan mempengaruhi umat Islam. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ١٥٩﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama-Nya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka lakukan.” [Surah al-An‘am: 159]

Allah memberikan peringatan dengan firman-Nya agar membezakan berbagai-bagai perubahan yang menguji manusia, supaya tidak terpesong kepada perubahan yang merosakkan dan menyesatkan:

﴿… إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ١١﴾

“…Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]

Perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya; adakah perubahan berlaku mengikut petunjuk Allah ataupun ciptaan manusia yang menyimpang daripada petunjuk-Nya?

Islam yang dibawa oleh para rasul dan anbiya’, ada perkara thawabit (tetap) yang tidak berubah dan tidak boleh diubah iaitu perkara prinsip dan rukun, termasuk perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal manusia. Perkara-perkara ini tidak berubah dalam kehidupan manusia pada sepanjang zaman, dalam semua keadaan, dan di setiap tempat.

Ada pula perkara yang mutaghayyirat (berubah) dalam keadaan sifat dunia yang berubah-ubah dan berbeza-beza. Maka, Allah melantik para rasul dan anbiya’ pada sepanjang zaman yang berakhir dengan rasul akhir zaman Nabi Muhammad SAW, bagi memimpin dengan petunjuk Allah dalam semua keadaan yang memerlukan islah (pembaikan) dan tajdid (pembaharuan). Firman Allah SWT:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Para rasul dan anbiya’ dilantik pada setiap zaman dan dalam setiap umat, diakhiri rasul akhir zaman kepada seluruh manusia dalam dunia terkini yang banyak berlaku perubahan. Keadaan ini menjadikan berlakunya hubungan antara pelbagai bangsa dan negara, bersama kitab al-Quran sebagai mukjizat segala ilmu yang membawa peringatan kepada seluruh alam. Firman Allah SWT:

﴿تَبَارَكَ ٱلَّذِي نَزَّلَ ٱلۡفُرۡقَانَ عَلَىٰ عَبۡدِهِۦ لِيَكُونَ لِلۡعَٰلَمِينَ نَذِيرًا١﴾

“Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.” [Surah al-Furqan: 1]

Sabda Rasulullah SAW:

‌إِنَّ ‌اللهَ ‌يَبْعَثُ ‌لِهَذِهِ ‌الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا.

“Sesungguhnya, Allah membangkitkan dalam kalangan umat ini pada setiap 100 tahun seseorang yang membawa pembaharuan dalam urusan agamanya.” [Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4291, daripada Abu Hurairah]

Adapun selepas kewafatan Rasulullah SAW, tugas menyampaikan Islam diambil oleh kumpulan umat Islam yang dinyatakan sifat-sifat dan ciri-cirinya oleh firman Allah SWT:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Kumpulan ini bercirikan kebajikan seluruh ajaran Islam yang sempurna serta melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang berkuasa menegakkan negara yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan mungkar. Dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]

Islam disebut sebagai al-din yang sempurna. Firman Allah SWT:

﴿… ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ … ٣﴾

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu. Oleh sebab itu, janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu…” [Surah al-Ma’idah: 3]

Al-Din berbeza dengan perkataan ‘agama’ dalam semua bahasa yang sifatnya tidak sempurna kerana berpisah dengan urusan dunia.

Peranan setiap rasul ialah melakukan islah dalam semua urusan. Firman Allah SWT:

﴿قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَءَيۡتُمۡ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٖ مِّن رَّبِّي وَرَزَقَنِي مِنۡهُ رِزۡقًا حَسَنٗاۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أُخَالِفَكُمۡ إِلَىٰ مَآ أَنۡهَىٰكُمۡ عَنۡهُۚ إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ وَمَا تَوۡفِيقِيٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ٨٨﴾

“Syu‘aib berkata, ‘Wahai kaumku! Bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhanku dan Dia menganugerahiku daripada-Nya rezeki yang baik, (lalu patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa-apa yang aku larang kamu daripada melakukannya. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya jua aku kembali.’” [Surah Hud: 88]

Al-Quran benar-benar sebuah kitab mukjizat ilmu dan Sunnah Rasulullah SAW pula ialah hikmah (kebijaksanaan) yang mampu memimpin seluruh manusia pelbagai bangsa serta menangani keadaan yang berbeza-beza dan berubah-ubah. Al-Quran dan Sunnah hanya boleh difahami oleh mereka yang dikurniakan kebijaksanaan dengan petunjuk Allah. Firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-Quran dan al-Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah, maka dia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (daripada firman Allah).” [Surah al-Baqarah: 269]

Semua wilayah yang dimasuki oleh Islam menerima pelaksanaannya yang bijak dan adil apabila rakyat berduyun-duyun memeluk Islam tanpa paksaan ataupun rela berada di bawah kerajaan Islam tanpa menganut agamanya. Keadaan ini berlaku apabila ajaran Islam dilaksanakan oleh para ulu al-amr yang terdiri daripada para ulama’ (ilmuwan Islam) dan para umara’ (khalifah dan raja).

Pemerintahan wilayah yang paling besar dan luas, di samping memiliki masyarakat paling majmuk dalam masa lebih daripada 1,000 tahun, telah mencipta hadarah Islamiah (tamadun Islam) yang dijiplak oleh Barat secara sekularisme yang mencacatkan fungsi tamadun itu.

Sehinggakan, banyak perkara negatif memakan diri dunia terkini serta merosakkan diri manusia dan alam sekitarnya, apabila terpengaruh dengan sekularisme Barat lalu melahirkan reformasi melalui berbagai-bagai ideologi dan teori yang nyata kegagalannya.

Adapun kehebatan Islam disebut oleh firman Allah SWT:

﴿أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَيۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ ٱخۡتِلَٰفٗا كَثِيرٗا٨٢ وَإِذَا جَآءَهُمۡ أَمۡرٞ مِّنَ ٱلۡأَمۡنِ أَوِ ٱلۡخَوۡفِ أَذَاعُواْ بِهِۦۖ وَلَوۡ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنۡهُمۡ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسۡتَنۢبِطُونَهُۥ مِنۡهُمۡۗ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ لَٱتَّبَعۡتُمُ ٱلشَّيۡطَٰنَ إِلَّا قَلِيلٗا٨٣﴾

“Maka, apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan daripada sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak dalamnya. (82) Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulu al-Amr (ulama’ dan umara’) antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulu al-Amr). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja (antaramu). (83)” [Surah al-Nisa’: 82–83]

Nas-nas al-Quran dan Hadis yang mentafsirkan al-Quran memerlukan beberapa ilmu bagi memahaminya. Hal ini terangkum dalam soalan Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW, dalam hadis kedua daripada Hadis 40 susunan Imam al-Nawawi (al-Arba‘un al-Nawawiyyah) yang menjadi polemik baru-baru ini.

Itulah perkara yang disebut sebagai Islam, iman, ihsan, dan tanda-tanda Kiamat (kemusnahan alam) apabila manusia meninggalkan Islam. Keempat-empat perkara itu disimpulkan dalam tiga ilmu, iaitu aqidah, syariat, dan akhlak (tasawuf) yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah, dan ijtihad para ulama’ yang mendalami ilmu yang dinyatakan peringkat dan tahapnya oleh al-Quran.

Permulaan asas ilmu ialah tafaqquh (memahami ilmu dan pelaksanaannya), al-rasikhun fi al-‘ilm (mendalami ilmu), dan ahl al-zikr (berilmu dan beristiqamah).

Firman Allah SWT:

﴿ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ٥﴾

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhan kamulah yang Maha Pemurah. (3) Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4) Dia mengajari manusia apa-apa yang tidak diketahui. (5)” [Surah al-‘Alaq: 1–5]

Mempelajari ilmu adalah fardu ‘ain (wajib atas tiap-tiap individu) dan fardu kifayah (wajib terhadap sekumpulan daripada kalangan umat dalam tiap-tiap lapangan), yakni ilmu agama dan ilmu dunia dalam urusan mentadbir kehidupan manusia dengan petunjuk agama melalui pembacaan dan penulisan.

Firman Allah SWT:

﴿۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ١٢٢﴾

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perjuangan). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka) tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka dapat menjaga diri (daripada melakukan larangan Allah).” [Surah al-Tawbah: 122]

Bertafaqquh dengan maksud memahami kandungan ilmu dan urusan pelaksanaannya.

Firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ مِنۡهُ ءَايَٰتٞ مُّحۡكَمَٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَٰبِهَٰتٞۖ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمۡ زَيۡغٞ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَٰبَهَ مِنۡهُ ٱبۡتِغَآءَ ٱلۡفِتۡنَةِ وَٱبۡتِغَآءَ تَأۡوِيلِهِۦۖ وَمَا يَعۡلَمُ تَأۡوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُۗ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلّٞ مِّنۡ عِندِ رَبِّنَاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٧﴾

“Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Antaranya (isinya) ada ayat-ayat yang muhkamat (yang nyata hukumnya yang tersurat), itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihat (yang tersirat tidak nyata). Adapun orang-orang yang dalam hati mereka condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat yang mutasyabihat daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang al-rasikhun (mendalam) ilmunya berkata, ‘Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu daripada sisi Tuhan kami.’ Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” [Surah Ali ‘Imran: 7]

Ulu al-albab ialah kalangan yang mendalami ilmu Islam dalam aspek aqidah, syariat, dan akhlak (tasawuf).

Kemuncaknya ialah ilmu kalangan anbiya’ dan ulama’ yang beristiqamah. Firman Allah SWT:

﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ إِلَّا رِجَالٗا نُّوحِيٓ إِلَيۡهِمۡۖ فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ٤٣ بِٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلزُّبُرِۗ وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلذِّكۡرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيۡهِمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ٤٤﴾

“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepada mereka. Maka, bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (43) Keterangan-keterangan (mukjizat) dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa-apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. (44)” [Surah al-Nahl: 43–44]

Para anbiya’ yang dipilih Allah diwahyukan kitab, seterusnya para ulama’ mewarisi ilmu dan amanah perjuangan mereka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ ‌الْعُلَمَاءَ ‌وَرَثَةُ ‌الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya, para ulama’ menjadi penerima pusaka para anbiya’. Sesungguhnya, para anbiya’ tidak meninggalkan dinar (wang emas) dan dirham (wang perak), tetapi mereka meninggalkan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambilnya (dengan menunaikan amanah), nescaya dia mendapat keuntungan yang besar.” [Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, No. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2682, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Iftitah al-Kitab fi al-Iman wa Fada’il al-Sahabah wa al-‘Ilm, No. 223, daripada Abu al-Darda’. Lafaz bagi Ibn Majah]

Allah memberikan amaran supaya jangan mengikuti, bercakap, dan menulis sembarangan tanpa ilmu melalui firman-Nya:

﴿وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولٗا٣٦﴾

“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan, dan hati; semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (dihisab pada Hari Kiamat).” [Surah al-Isra’: 36]

Akhir zaman, terdapat ramai kalangan penulis dan pemimpin yang jahil, bahkan orang awam bercakap berkenaan perkara besar dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا ‌الرُّوَيْبِضَةُ”، قِيلَ: وَمَا ‌الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: “الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.”

“Akan datang menemui orang ramai, tahun-tahun yang menipu. Pembohong dianggap benar manakala orang yang benar dianggap bohong. Ruwaibidah pula berkata-kata.” Rasulullah SAW diminta penjelasan oleh sahabat, “Siapakah Ruwaibidah itu?” Baginda menjawab, “Orang yang jahil namun bercakap perkara besar berkenaan urusan rakyat umum.” [Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, No. 4036, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 7912, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 1 Rabiʿ al-Akhir 1445 / 16 Oktober 2023