Home Artikel PAS Sabah

Sabah negeri penutup jelajah Jejak 12K Muslimat PAS

410
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
24 Februari 2020

TAWAU : Jelajah Jejak 12K anjuran Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat PAS Malaysia telah melabuhkan tirainya apabila Sabah dijadikan lokasi terakhir pelancaran program tarbiyah tersebut yang dimulakan di Gombak, Selangor pada Disember lalu bagi peringkat pusat.

Program kali ini yang dianjurkan bersama Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah telah berlangsung di Hotel Heritage, Tawau sabtu lalu serta menghimpunkan lebih 200 orang Muslimat PAS dari seluruh negeri.

Majlis perasmian penuh semangat ini telah disempurnakan oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor yang turut dihadiri oleh Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu.

Ustazah Salamiah ketika berucap menekankan kepentingan setiap anggota jentera Muslimat untuk memiliki kriteria berteraskan AKIFI iaitu Alim, Haraki dan Sufi bagi melengkapkan ciri-ciri Ansarullah.

“Program bersifat motivasi ini secara langsung mampu menghasilkan jentera yang berkualiti melalui pengukuhan amalan fardhu dan sunat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah Dewan Muslimat PAS Malaysia berharap agar setiap Muslimat PAS dapat merapatkan diri kepada Allah bagi membentuk peribadi Mujahidah di medan dakwah dan perjuangan.

Ustazah Salamiah turut menyuntik semangat anggota jentera dengan kisah kejayaan hebat pasukan Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menawan Kota Konstantinopel.

“Kisah-kisah mereka ini menunjukkan betapa pentingnya penjagaan solat yang merupakan tiang agama dan amalan pertama akan dihisab. Jika baik solat, maka baiklah amalan lain,” ujarnya mengingatkan hadis Rasulullah.

Program yang dimulai dengan Gelombang Munajat Akifi ini diakhiri dengan pelancaran buku Amalan Muslimat Akifi sebagai simbolik agar jentera Muslimat PAS terus istiqamah dengan amalan-amalan Muslimat Akifi.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Hjh Nor Hasdillah Mohd Hasim dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Zaiton Ahmad.