Oleh : Ahmad Iskandaraniy Al-Haq
JELUTONG : Meriah dan penuh muhibah- itulah gambaran bagi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Jelutong, PAS Kawasan Tanjong serta PAS Kawasan Bukit Gelugor yang telah berlangsung pada sabtu lepas iaitu 7 Julai 2018.
Kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus sejak dari jam 12 tengahari lagi menyaksikan dataran ruangan tempat letak motorsikal Masjid Jamek Jelutong dipenuhi dengan pengunjung yang hadir, dengan anggaran kehadiran seramai 400 orang penduduk sekitar Parlimen Jelutong.
Majlis yang berlangsung turut dimeriahkan dengan kehadiran 3 Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan iaitu Ustaz Muhammad Imran Muhammad Saad (YDP Jelutong), Tuan Yaacob Omar (YDP Tanjong) serta Tuan Mazlan Pawanchik (YDP Bukit Gelugor). Turut serta hadir, Bendahari PAS Pulau Pinang, Mohamad Noor bin Che Man @ Harun.
Antara ucapan dan kalam yang menyentuh semangat disampaikan adalah “Setelah mengharungi bulan Ramadhan yang merupakan madrasah tarbiah dari Allah dan juga selesai melalui jihad utama iaitu Pilihanraya Umum Ke 14 , kita raikan kemenangan di bulan syawal akan tetapi jangan lupa yang kita mempunyai jihad dakwah, tarbiyah serta politik yang mana ia merupakan usaha dan medan untuk memastikan syariat islam terus diperkasa dan dilaksana bagi umat islam.
Kehadiran waris-waris PASTI dan masyarakat setempat pula membuktikan bahawa semangat muhibah terus terjalin antara pimpinan PAS dengan waris PASTI serta masyarakat setempat dengan lebih utuh dan makin kuat.
Pelbagai menu istimewa seperti nasi daging, ketupat, bihun sup, lontong serta kuih muih disediakan sempena majlis berkenaan dan apa yang menariknya, menu-menu ini disediakan oleh ahli PAS di kawasan Jelutong, Tanjong dan Bukit Gelugor. Acara berakhir dalam lebih kurang jam 3 petang.