Home Berita PAS Perak

Rumah kediaman terbakar, pesakit lumpuh maut

143
SHARE

Oleh : Saiful Islam Abdul Rahman

KAMPAR, Kebakaran rumah kediaman yang berlaku dalam jam 11.45 malam telah meragut nyawa seorang mangsa pesakit lumpuh, Ahmad Baser Razali, 50, ditemukan meninggal dunia di atas katil.

Pihak bomba dimaklumkan berjaya mengawal kebakaran dengan mengambil masa 15 minit bagi memadamkan api yang melibatkan tiga buah rumah di Kampung Padang Tembak di sini semalam.

Yang DiPertua PAS Kawasan Kampar, Ustaz Mohd Sofian Hj. Rejab bersama pimpinan lainnya tampil memberi sumbangan berbentuk bantuan kewangan kepada ketiga-tiga mangsa kebakaran.

“Kami melahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa mereka dan berharap semua mangsa kebakaran sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi musibah ini.

“InsyaAllah PAS Kawasan Kampar akan terus memantau perkembangan terkini mangsa dan sedang meneliti bantuan lain yang sewajarnya untuk disalurkan selepas ini”, ujar Ustaz Sofian.

Menurut salah seorang mangsa, Shabilah Mohamed Musa, 47, rumahnya terbakar 80 peratus dalam kejadian itu menyebabkan mereka tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal dan kini menumpang di rumah saudara berdekatan.

Sementara itu, punca kebakaran dan nilai kerugian keseluruhan melibatkan kesemua mangsa masih dalam siasatan Pasukan Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Turut hadir menyantuni mangsa kebakaran, Ahli Majlis Daerah Kampar, yang juga Setiausaha PAS Kampar, Ustaz Khairul Alimi Kamarul Hailan dan JPKK Batu Berangkai, Baharom Shaari.