Home Berita PAS Perak

PAS Lumut hargai “frontliners”, lawat petugas PPV

97
SHARE

Oleh : Nizam PSJ

LUMUT, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di bawah penyelarasan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menunjukkan perkembangan yang sangat baik apabila mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 400 ribu dos sehari seluruh negara.

Ahli Lembaga Pelawat Hospital Seri Manjung, Rohawati Abidin berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berpusat di Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Lumut Kiri, di sini semalam.

“Usaha berterusan pihak kerajaan ketika ini dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai mengikut sasaran sewajarnya disokong. Difahamkan kadar suntikan harian mencecah purata 1,000 orang penerima vaksin dalam Parlimen Lumut.

“Kunjungan PAS Lumut sebagai tanda menghargai pengorbanan, menyuntik semangat dan motivasi kepada barisan hadapan khususnya petugas di PPV yang telah bertungkus lumus bekerja,“ ujar Rohawati.

Beliau yang juga Ketua Muslimat, Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut berkata, program “Apa khabar Pegawai PPV Manjung?” menjadi sebahagian usaha menghargai petugas barisan hadapan khususnya di PPV tersebut.

Katanya lagi, di samping bertanya khabar, PAS Kawasan Lumut turut menyampaikan sumbangan kuih raya, kerepek serta beberapa kotak makanan dan minuman kepada para petugas.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras PPV Manjung, Mohd Sahrel Pardi ketika ditemui juga, melahirkan rasa terharu serta mengucapkan ribuan terima kepada PAS Kawasan Lumut di atas keprihatinan dan kunjungan tersebut.

Turut serta ketika menyampaikan sumbangan di PPV tersebut, Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Habibah Rasdi, Setiausaha PAS, Hamidun Ahmad dan Bendahari PAS Lumut, Zulkifli Ahmad Yusuf.