Home Artikel PAS Selangor

Ruangan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor | Prof. Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh – PAS Pertahan Prinsip Perjuangan Semasa Dalam Kerajaan

636
SHARE

Parti Islam Semalaysia (PAS) tetap mempertahankan prinsip perjuangan Islam walaupun berada dalam kerajaan. Sebarang perbezaan pandangan parti dengan pihak lain dalam kerajaan diuruskan dengan baik dan berhemah. Itulah kesimpulan yang dibuat hasil pandangan tiga kepimpinan PAS Selangor ketika berkhidmat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebelum ini.

Mereka adalah YBhg. Dato’ Iskandar Abdul Samad, YBhg. Ustaz Sallehen Mukhyi dan YB. Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, ketika bersama menjadi ahli panel dalam program Wacana Minda Pimpinan di Shah Alam pada 20 Ogos 2020 yang bertajuk, ‘Ambang PRU 15 – Mengurus Perbezaan VS Mempertahan Prinsip”. Program tersebut dimoderator oleh YBhg. Prof Sufian Husin, Pensyarah Universiti.

Program wacana tersebut dianjurkan oleh PAS Cawangan Seksyen 18 dengan kerjasama Jabatan Pilihanraya DUN Batu Tiga. Wacana tersebut dihadiri kira-kira 100 orang yang turut disiarkan secara langsung melalui FB PAS Shah Alam dan TV PAS Selangor. Turut hadir ialah Timbalan dan Naib YDP PAS Shah Alam serta barisan kepimpinannya.

Ketiga-tiga panel juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor pada zaman masing-masing yang mempunyai pelbagai insiden politik tersendiri. Dato’ Iskandar yang juga Bendahari Agung PAS Pusat adalah bekas bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan berhadapan dengan zaman sukar berlakunya Langkah Kajang untuk menukar Menteri Besar (MB) ketika itu.

Beliau menceritakan PAS berpegang kepada prinsip mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB daripada disingkirkan oleh partinya sendiri, PKR. Ini disebabkan Tan Sri Abdul Khalid tidak mempunyai apa-apa kesalahan atau rasuah melainkan berhadapan dengan tentangan dalaman ahli partinya. Prinsip sama ditunjukkan oleh wakil rakyat PAS dalam isu-isu lain seperti penjualan arak secara bebas, rampasan Bible berbahasa Melayu dan polisi perumahan negeri.

Perkara yang sama turut ditegaskan oleh Ustaz Sallehen dan Dato’ Dr Ahmad Yunus, kedua-duanya pernah menjadi Exco berkaitan Hal Ehwal Islam Selangor. Pada zaman Ustaz Sallehen, PAS negeri berhadapan dengan pengkhianatan ahli parti yang kemuncaknya penolakan mereka secara total dalam pemilihan kepimpinan di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor. PAS tetap berpegang kepada prinsip parti yang tidak menerima parti DAP sebagai kawan dalam perjuangan Islam seperti ahli-ahli yang tewas, yang kemudiannya menubuhkan parti baharu, PAN.

Hal yang sama juga dikongsi oleh Dato’ Dr Ahmad Yunus, satu-satunya wakil PAS yang kekal dalam Dewan Undangan Negeri Selangor di Sijangkang. Beliau memberi contoh bagaimana prinsip PAS dipertahankan dalam isu kehadiran penyanyi Amerika, Selena Gomez ke Shah Alam. Walaupun sering berlaku tentangan daripada Exco DAP, namun PAS kekal dengan agenda Islam yang diperjuangkan.

Ketiga-tiga panel bersetuju bahawa ketahanan PAS dalam menghadapi isu-isu semasa di Selangor adalah kerana sifat wala’, sabar dan istiqamah ahli-ahli. PAS wujud atas tujuan yang jelas, iaitu memperjuangkan kewujudan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang melaksanakan nilai dan hukum Islam menuju keredaan Allah. Justeru, ahli diseru membetulkan niat dan berjiwa besar dalam menerima setiap arahan parti terutamanya dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 nanti.

Program wacana tersebut berakhir pada jam 11.00 malam dengan solat Isya’ berjemaah. Hadirin turut disediakan sedikit juadah makan selepas tamat program.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

2 Muharram 1442H | 21 Ogos 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor