Home Berita PAS Wilayah

Royalti Minyak : Polemik Yang Belum Selesai

583
SHARE

<<PemudaPASBatuMind#12>>

ROYALTI MINYAK : POLEMIK YANG BELUM SELESAI

Takrif yang digunakan dalam artikel ringkas ini:

“Royalti” merujuk kepada pembayaran wang tunai berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kerajaan Negeri dan Petroliam Nasional Berhad 1975.

“Parti pembangkang” merujuk kepada parti yang menjadi pembangkang di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi memegang tampuk pemerintahan di negeri tertentu.

“Cadangan baru” merujuk kepada cadangan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan royalti 20% berdasarkan keuntungan.

“Business As Usual” merujuk kepada status asal 5% royalti berasaskan pengeluaran kasar.

1. Perkembangan isu royalti minyak sememangnya menjadi perhatian. Pertama, kerana ia melibatkan khususnya dua negeri pantai timur yang diperintah oleh parti pembangkang, keduanya kerana nilai royalti meningkat kepada 20 peratus namun bukan berdasarkan pengeluaran kasar tetapi keuntungan bersih (nett profit).

2. Persoalannya, bagaimanakah bentuk mekanisma “20 peratus daripada keuntungan bersih” akan disalurkan kelak? Ini yang masih menjadi teka-teki di kedua-dua belah pihak Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat. Menteri Besar Terengganu mengambil sikap untuk memperhalusi cadangan tersebut, Dato’ Nik Amar pula berpendapat sebaiknya dikekalkan peruntukan 5% royalti berdasarkan pengeluaran, “echoing” hujah beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang berbahas dalam sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat tempoh hari.

3. Berdasarkan Business As Usual, daripada 100% pengeluaran kasar minyak dan gas :

10% diberikan secara bayaran tunai (cash payment) atau royalti kepada Kerajaan Persekutuan, dengan 5% daripadanya kepada Kerajaan Negeri di mana minyak tersebut dijumpai manakala baki 5% kepada Kerajaan Persekutuan.

70% adalah “recovery cost” merujuk produksi kos dan sebagainya. Kos ini mengikut jawapan kementerian tempoh hari semakin meningkat terutamanya penerokaan di laut dalam.

20% adalah keuntungan kasar sebelum cukai. Daripada jumlah yang berbaki ini, sebahagiannya akan dikenakan cukai Petroleum Income Tax Act (PITA) iaitu kira-kira 8%, manakala 12% adalah keuntungan bersama dengan pengusaha minyak e.g. Shell, Exxon etc.

4. Jika kaedah 10:70:20 dikekalkan seperti di atas bermakna cadangan baru juga kelihatan mustahil untuk dilaksanakan. Namun, perkara ini sedang dalam rundingan dan kerajaan sendiri menegaskan tidak menetapkan jangka masa rundingan dengan cadangan baru ini akan selesai.

5. Jadi sebaiknya dalam tempoh ini bayaran royalti Business As Usual diselesaikan pada Februari-Mac dan Ogos-September setiap tahun kepada negeri-negeri pengeluar. Mengikut jadual, bulan depan adalah pembayaran royalti pertama Kerajaan Persekutuan kepada negeri pengeluar.

6. Diharapkan tiada lagi polemik berkaitan dengan royalti timbul walaupun saya fikir pendapatan berkaitan minyak (oil-related income) adalah antara ruang dan peluang kerajaan offset kehilangan pendapatan negara disebabkan ketiadaan cukai GST.

7. Masih segar di ingatan bagaimana Kerajaan Terengganu yang dipimpin PAS pada sesi 1999-2004 dinafikan hak royalti suatu ketika dahulu. Kerajaan Persekutuan ketika itu menggunakan “dasar laut terbuka” sebagai langkah “menghalalkan” tindakan mereka, walhal sebelumnya royalti diberikan kepada Kerajaan Negeri tanpa banyak soal.

8. Pada masa itu, Kerajaan Persekutuan berkeras dengan hujah perundangan (continental shelf) walaupun jelas sekali ia bersifat motif politik. Akhirnya, di sebalik royalti, hanya wang ihsan diterima Kerajaan Negeri.

[Ditulis Oleh Sdr Hafiz Mansor, AJK Pemuda PAS Batu]

®Diterbitkan Oleh Penerangan Pemuda PAS Batu✓

#policytalk
#pemudaPASBatu

LIKE FB PAGE
Pemudabatu.com