Home Berita PAS Terengganu

Royalti Milik Terengganu: Amanah jangan khianati hak rakyat

1245
SHARE

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menzahirkan rasa kesal dan mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) yang menafikan hak royalti minyak yang sepatutnya menjadi milik mutlak rakyat Terengganu. Kenyataan ini jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab serta pengkhianatan terhadap hak rakyat negeri ini yang berdaulat.

Perkara ini amat mengecewakan memandangkan hasil petroleum adalah hak yang telah dijamin di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, di mana perjanjian yang dimeterai memberi hak kepada negeri-negeri pengeluar, termasuk Terengganu, untuk menerima pembayaran royalti sebanyak 5% daripada hasil minyak yang diusahakan. Kenyataan Amanah ini tidak hanya bercanggah dengan semangat federalisme, malah menzalimi rakyat Terengganu yang telah sekian lama bergantung kepada hasil ini untuk pembangunan sosioekonomi negeri.

Adakah Amanah buta terhadap realiti kehidupan rakyat Terengganu yang bergelut dengan isu ekonomi, kos sara hidup yang semakin meningkat, serta keperluan pembangunan infrastruktur? Adakah mereka lupa bahawa royalti ini adalah sumber utama yang digunakan untuk membantu golongan miskin, meningkatkan peluang pendidikan, dan membangunkan prasarana negeri?

Kami juga mempersoalkan agenda sebenar Parti Amanah yang sanggup menggadaikan kepentingan rakyat Terengganu demi kepentingan politik sempit mereka. Sikap ini hanya mencerminkan keangkuhan dan kecenderungan mereka untuk mengabaikan keadilan serta kesejahteraan rakyat.

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk bangkit mempertahankan hak kita. Jangan sesekali membiarkan pihak-pihak tertentu terus menafikan hak yang telah dijamin kepada kita. Kami juga mendesak kerajaan Persekutuan untuk bersikap adil dan profesional dalam menyelesaikan isu ini tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik.

*ROYALTI MILIK TERENGGANU, JANGAN NAFIKAN HAK RAKYAT!*

YABhg. To’ Puan Hajah Zarani Othman
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu
26 November 2024